• Macam Dalam Filem

    Reporter: Dayyan Mikhail
    Published: Tuesday, 27 February 2018
    A- A+

    Seorang penjenayah ditahan orang ramai ketika cuba melarikan beg tangan seorang wanita di belakang kawasan parkir bangunan City Mall, Kota Kinabalu, malam tadi.

    Ketika kejadian 8.15 malam itu, mangsa berusia 37 tahun mahu masuk ke dalam Toyota Alphard sebelum didatangi suspek berumur 28 tahun.

    Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner M Chandra berkata, siasatan mendapati suspek kemudian masuk ke dalam kenderaan mangsa melalui pintu penumpang hadapan, iaitu tempat wanita itu meletakkan beg tangan sebelum cuba melarikan diri.

    "Wanita terbabit kemudian menjerit meminta tolong dan suspek melarikan diri masuk ke dalam kereta miliknya yang diletakkan bersebelahan kenderaan mangsa.

    "Di dalam beg tangan itu mengandungi iPhone 7 Plus dan dompet," katanya ketika dihubungi, hari ini.

    Chandra berkata, ketika suspek ingin keluar dari kawasan parkir, keretanya terlanggar Toyota Rush dan turut melanggar seorang lelaki berusia 32 tahun yang datang membantu mangsa tanpa disedari suspek.

    "Selepas itu, orang ramai datang membantu dan menangkap suspek sebelum diserahkan kepada polis.

    "Pemeriksaan dalam kereta suspek turut menemui sebilah parang dan baju chef," katanya.

    Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan/Seksyen 6(1) Akta Bahan Hakisan, Letupan dan Senjata Berbahaya 1958.

    "Kes turut disiasat oleh polis trafik kerana berlaku kemalangan di tempat kejadian mengikut Seksyen 43 Akta Pengangkutan Jalan 1987 atas kesalahan memandu dengan tidak cermat sehingga menyebabkan orang lain cedera," katanya.

    Difahamkan, mangsa yang dilanggar suspek mengalami kecederaan dan dirawat di Hospital Queen Elizabeth II di sini.-myMetro

    Subjects:

  • No Comment to " Macam Dalam Filem "