• Luar Bandar Sarawak Dekat Di Hati Najib

    Published: Friday, 2 February 2018
    A- A+

    SRI AMAN: Peruntukan besar hampir RM1 bilion disalurkan Kerajaan Persekutuan bagi membangunkan kawasan pedalaman dan luar bandar di Sarawak, tahun lalu jelas memperlihatkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak memperkasakan kemajuan negeri ini kata Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Douglas Uggah Embas.

    Memetik laporan Berita Harian, katanya, ia sekali gus memberi impak positif terhadap sosioekonomi rakyat.

    Malah menurutnya, kunjungan PM biasanya bukan dengan 'tangan kosong', sebaliknya membawa bersama pelbagai projek pembangunan yang dapat membantu negeri dan rakyat terutama di kawasan pedalaman serta luar bandar.

    "Ini bukti jelas beliau amat menyayangi Sarawak berbanding Tun Dr Mahathir Mohamad yang sering datang ke negeri ini dengan 'tangan kosong' sepanjang 22 tahun menjadi Perdana Menteri.

    "Datuk Seri Najib satu-satunya Perdana Menteri yang sering turun padang ke Sarawak sejak dilantik pada 2009, dengan segenap pelosok negeri meliputi kawasan pedalaman dan luar bandar sudah dilawatinya,” katanya di sini semalam.

    Uggah memaklumkan, secara keseluruhannya, Sarawak menerima RM950.8 juta peruntukan bagi menampung kos pelaksanaan pelbagai projek pembangunan bawah kawal selia Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah.

    "Bahkan, Perdana Menteri turut mengumumkan peruntukan berjumlah RM500 juta lagi bagi membangunkan rangkaian telekomunikasi di seluruh negeri, selain menjayakan projek pembinaan Lebuh Raya Pan Borneo,”ujarnya.

    Beliau turut mengingatkan seluruh rakyat Sarawak supaya terus menyokong Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) bagi mengekalkan kesinambungan dan momentum projek pembangunan yang dirancang. – Sarawakiana
  • No Comment to " Luar Bandar Sarawak Dekat Di Hati Najib "