• Lelaki Ditahan Jual Kamera Curi Kepada Pemiliknya

    Reporter: Azmin Ramlie
    Published: Thursday, 22 February 2018
    A- A+
    KAJANG: Tindakan seorang lelaki menjual barangan hasil samun di sebuah laman web membawa padah apabila dia ditahan oleh mangsa sendiri ketika sedang melakukan transaksi jual beli barang berkenaan di Bukit Dukung, di sini, semalam.

    Dalam kejadian kira-kira jam 4 petang itu, suspek berusia 30-an itu ditahan orang awam termasuk mangsa, Muhammad Affan Fauzi, 21, selepas cuba menjual kamera miliknya yang juga seorang jurugambar di sebuah portal.

    Muhammad Affan berkata, dia menerima maklumat daripada rakannya berhubung penjualan kamera jenis SLR Nikon D800 dipercayai miliknya oleh seorang lelaki di sebuah laman web jual beli dalam talian sejak beberapa hari lalu.

    Katanya, berdasarkan maklumat itu, dia cuba menghubungi suspek dengan menyamar sebagai pembeli bagi mengetahui sama ada kamera dijual itu miliknya atau sebaliknya.

    "Saya agak yakin kamera dijual itu milik saya berdasarkan corak tali dan kesan calar sebelum saya membuat keputusan memasang perangkap terhadap lelaki berkenaan dengan menyamar sebagai pembeli.

    "Sepanjang tempoh urusan jual beli itu dilakukan, dia menawarkan harga murah RM3,500 dan bersetuju menjual kamera berkenaan sebelum kami membuat pertemuan di Bukit Dukung, di sini," katanya.

    Sebelum ini, media melaporkan Muhammad Affan kerugian lebih RM15,000 selepas disamun seorang lelaki ketika sedang memberhentikan motosikalnya di bahu jalan di Lebuh Silikon, Sepang, Ahad lalu.

    Suspek yang kononnya mahu menolong mangsa bertindak melarikan begnya yang mengandungi kamera, telefon bimbit, komputer riba dan dompet bersama dokumen pengenalan diri serta sejumlah wang tunai.

    Muhammad Affan berkata, pada pertemuan itu, lelaki terbabit membenarkan saya membuat pemeriksaan nombor siri pada kamera terbabit.

    "Pemeriksaan itu mendapati nombor siri kamera sama dengan kamera saya, selain memiliki corak tali dan kesan calar yang sama.

    "Sebaik saya memaklumkan itu kamera saya, lelaki berkenaan cuba melarikan diri. Bagaimanapun, dia berjaya ditahan orang awam termasuk beberapa rakan saya yang turut berada di lokasi kejadian.

    "Pergelutan yang berlaku menyebabkan lelaki berkenaan mengalami kecederaan ringan di bahagian muka," katanya.

    Katanya, lelaki terbabit kemudian dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang untuk tindakan lanjut.

    "Saya membuat laporan polis di IPD Kajang dan dimaklumkan pegawai penyiasat bahawa pihaknya akan membawa lelaki berkenaan ke IPD Sepang kerana kes samun Ahad lalu berlaku di Sepang," katanya.

    Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Abdul Aziz Ali ketika dihubungi mengesahkan pihaknya menerima laporan kes tangkapan itu. - BHOnline

    Subjects:

  • No Comment to " Lelaki Ditahan Jual Kamera Curi Kepada Pemiliknya "