• Lelaki ditahan bawah ISA di Singapura dihantar pulang Malaysia

    Reporter: Admin
    Published: Friday, 9 February 2018
    A- A+
    SINGAPURA: Seorang rakyat Malaysia, Muhammad Nur Hanief Abdul Jalil, ditahan bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) pada Januari lepas di Singapura dihantar pulang ke Malaysia bulan ini, kata Kementerian Dalam Negeri (MHA) republik itu hari ini.

    Dalam laman web kementerian itu, MHA berkata ketika siasatan tidak menunjukkan Muhammad Nur Hanief cuba meradikalkan orang lain atau merancang apa-apa serangan pengganas di Singapura, namun keradikalannya menyebabkan dirinya satu ancaman keselamatan kepada Singapura.

    Bagaimanapun, kementerian itu tidak mendedahkan tarikh penghantaran balik Muhammad Nur Hanief.

    Menurut MHA, rakyat Malaysia berumur 33 tahun itu melakukan pelbagai pekerjaan di Singapura sejak 2011.

    “Justeru, pas kerjanya dibatalkan,” tambahnya.

    Ketika ditangkap, Muhammad Nur Hanief bekerja sebagai pemandu dengan syarikat kargo udara tempatan.

    “Sebagai pemandu syarikat itu, dia mempunyai akses ke Changi Airfreight Centre, yang merupakan kawasan larangan. Pusat kargo udara itu menyediakan perkhidmatan kargo udara ke Lapangan Terbang Changi,” kata kementerian itu.

    MHA berkata siasatan mendapati sejak 2008, Muhammad Nur Hanief meneliti bahan-bahan pendakwah ekstremis asing dalam talian.

    “Menerusi pendedahan berterusan kepada bahan berkenaan, dia yakin dia perlu ke Syria atau Palestin menyertai konflik di sana,” tambahnya.

    Menurut MHA, hujung tahun lepas, warga Malaysia itu memutuskan bertindak mengikut rancangannya menyertai konflik di Syria atau Palestin selepas mengalami kegagalan dalam kerjanya dan kehidupan peribadi.

    “Dia bersedia menyertai mana-mana kumpulan militan di sana, termasuk IS di Iraq dan Syria, Free Syrian Army atau Hayat Tahrir al-Sham (sebelum ini dikenali sebagai Jabhat Fateh al-Sham/Jabhat al-Nusra), kerana percaya kumpulan ini akhirnya akan bersatu sehingga ‘detik terakhir’,” kata kementerian itu. - Bernama

    Subjects:

  • No Comment to " Lelaki ditahan bawah ISA di Singapura dihantar pulang Malaysia "