• Lelaki Bawa Lari Ambulans Direman 4 Hari

    Reporter: Yusz Man
    Published: Wednesday, 21 February 2018
    A- A+

    KUCHING - Seorang lelaki yang dipercayai mempunyai masalah mental direman selama empat hari bermula hari ini bagi membantu siasatan selepas melarikan sebuah ambulans dari Hospital Umum Sarawak di sini semalam.

    Perintah tahanan reman itu dikeluarkan oleh Majistret Sandy Yvette Freddy di Mahkamah Majistret di sini.

    Perintah reman itu dikeluarkan bagi membolehkan siasatan dibuat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana mencuri.

    Terdahulu, tertuduh yang memakai pakaian lokap polis tiba di Kompleks Mahkamah Kuching di sini kira-kira pukul 10 pagi sebelum diiringi anggota polis ke kamar mahkamah untuk prosiding reman.

    Dalam kejadian kira-kira pukul 12.50 tengah hari semalam, lelaki yang berasal dari Kampung Siol Kandis di sini telah melarikan sebuah ambulans milik Pusat Kesihatan Pakar KPJ di sini.

    Difahamkan, ketika kejadian itu, para petugas KPJ dikatakan membawa masuk seorang pesakit ke zon kecemasan di Hospital Umum Sarawak dan meninggalkan ambulans tersebut dalam keadaan enjin masih hidup.

    Melihat keadaan ambulans itu tanpa sebarang pengawasan, suspek kemudian melarikan ambulans tersebut.

    Bagaimanapun, suspek berjaya diberkas sejam kemudian selepas meninggalkan ambulans itu di Jalan Green, berhampiran Wisma Saberkas di sini. - K!
  • No Comment to " Lelaki Bawa Lari Ambulans Direman 4 Hari "