• Lebih banyak masalah yang timbul akibat percubaan untuk menangani keadaan

    Published: Thursday, 1 February 2018
    A- A+
    Tulisan asal oleh:
    Tan Tian Yan, The Star Online, 1 Februari 2018

    Trend untuk P148 kelihatan cerah dan ia pasti akan menjadi sangat menarik.

    Tidak, saya bukannya memberikan anda nombor bertuah. P148 merujuk kepada kawasan Parlimen Ayer Hitam di pusat Johor.

    Ayer Hitam tidak banyak menarik perhatian sebelum ini. Ia dilihat sebagai "kerusi selamat" untuk Barisan Nasional dan telah dipegang oleh Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong dari MCA untuk beberapa penggal.

    Pakatan Harapan telah memperuntukkan P148 kepada DAP. DAP, yang pada awalnya enggan bertanding di sana, memberitahu Amanah: "Anda boleh bertanding di sana di bawah logo DAP."

    Ia menunjukkan bahawa DAP pada mulanya tidak mahu terlibat dalam perang yang mana ia tidak mempunyai keyakinan untuk menang.

    Tetapi itu telah berubah. Baru-baru ini, pemimpin tertinggi DAP telah menaikkan status P148. Penasihatnya, Lim Kit Siang berkata jika (Pakatan) mahu mengambil alih Putrajaya, ia harus merebut Ayer Hitam.

    Orang ramai tidak boleh benar-benar memahami apakah hubungan langsung antara Ayer Hitam dan mendapatkan Putrajaya.

    Ianya lebih mudah untuk memahami bahawa gabungan pembangkang akan lebih dekat dengan mendapatkan Putrajaya jika bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad memenangi Pulau Langkawi atau Kubang Pasu.

    Tetapi P148 Ayer Hitam? Ini bukan kerusi (Perdana Menteri) Datuk Seri Najib Tun Razak, (Timbalan Perdana Menteri) Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi atau (Menteri Pertahanan) Datuk Seri Hishammuddin Hussein. Ia sama sekali tidak istimewa.

    Bagi Dr Wee, ia masih segar dalam fikiran rakyat bahawa beliau dengan agresif telah mempersoalkan tentang projek terowong dasar laut Pulau Pinang.

    Adakah DAP menyenaraikan Ayer Hitam sebagai medan pertempuran utama mereka kerana mahu menggulingkan Dr Wee? Adakah ia mahu menjatuhkan timbalan presiden MCA kerana beliau banyak mengkritik projek itu?

    Adakah ini satu strategi untuk menyerang Dr Wee untuk menyelamatkan Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng dan memaksa Dr Wee untuk berhenti mengkritik projek terowong itu?

    Atau mungkin, ini adalah "tindakan membalas dendam" ke atas Dr Wee?

    Terus terang saya katakan, saya tidak rasa Dr Wee akan undur diri kerana beliau terkenal dengan personaliti tegasnya.

    Sebaliknya, ini akan meningkatkan lagi semangat lawannya, mendorongnya untuk menyiasat isu terowong dasar laut dengan lebih lanjut dengan menyelam 3km ke dalam laut biru dalam untuk mencari jawapan.

    Dari pandangan orang ramai, saya rasa tumpuan tidak seharusnya pada kedua-dua orang itu.

    Ini tidak perlu menjadi pertempuran antara Guan Eng dan Dr Wee. Ini sepatutnya melebihi sekadar pertelingkahan antara mereka.

    Ia harus menjadi isu kepentingan awam. Orang ramai boleh menganalisis kes itu dan menjadi hakim kepada situasi itu.

    Hasrat DAP untuk menakluki Ayer Hitam akan membawa isu projek terowong itu ke platform yang lebih besar untuk diteliti dan diperdebatkan. Ini akan menjadi perkembangan positif.

    Orang ramai berminat untuk mengetahui mengapa kajian kebolehlaksanaan dan reka bentuk terperinci untuk terowong dasar laut dan tiga jalan utama akan menelan kos RM305 juta.

    Satu perkara yang perlu diperhatikan ialah kajian kebolehlaksanaan dan reka bentuk terperinci bagi tiga jalan utama menelan kos melebihi RM200 juta.

    Pengiraan secara kasar menunjukkan bahawa kos untuk setiap kilometer adalah kira-kira RM10 juta, berdasarkan jumlah panjang keseluruhan 20.3km.

    Industri kejuruteraan berkata kos itu adalah "luar biasa tinggi". Adakah kajian kebolehlaksanaan itu begitu terperinci sehinggakan ia akan mengetahui berapa banyak cacing yang terdapat dalam setiap inci tanah?

    Kos pembinaan terowong dasar laut itu adalah RM3.6 bilion, dengan kajian kebolehlaksanaan dan reka bentuk terperinci berharga RM96 juta.

    Kenapa kajian kebolehlaksanaan untuk ketiga-tiga jalan itu adalah lebih mahal daripada terowong walaupun jalan-jalan itu sepatutnya lebih mudah dan lebih murah untuk dibina?

    Guan Eng menegaskan bahawa tidak ada satu sen pun yang telah dibayar. Tetapi, kenapa kerajaan negeri memindahkan bidang tanah kepada pelabur yang terlibat?

    Dengan penarikan diri dari pembina dari China dan kemasukkan syarikat fesyen tempatan (dalam SPV projek itu), terdapat perubahan dalam modal berbayar. Ini tidak sepadan dengan keperluan yang ditetapkan sebelum ini. Bagaimanakah kerajaan negeri akan mengendalikan perkara ini?

    Laporan masih belum selesai dan projek masih belum dimulakan. Adakah terowong itu masih akan dibina? Exco negeri Pulau Pinang Chow Kon Yeow berkata tiga jalan utama itu akan dibina terlebih dahulu tetapi adakah ini akan berlawanan dengan konsep keseluruhan projek itu?

    Sebenarnya, adakah Pulau Pinang benar-benar memerlukan terowong dasar laut dan tiga lebuh raya utama? Adakah infrastruktur baru ini akan menyelesaikan kesesakan di Pulau Pinang atau membawa lebih banyak kenderaan masuk? Mengapa kerajaan negeri tidak membina sistem kereta api? Bukankah itu lebih sesuai dengan keperluan orang Pulau Pinang?

    Dari terowong dasar laut ke Ayer Hitam, banyak soalan dan keraguan telah muncul.

    Ini tidak sepatutnya menjadi pertikaian antara Guan Eng dan Dr Wee tetapi isu kepentingan umum yang perlu dijelaskan.

    Link asal artikel:
    https://www.thestar.com.my/news/nation/2018/02/01/opening-up-a-can-of-worms-from-undersea-tunnel-project-to-ayer-hitam-questions-and-doubts-emerge/

    Subjects:

  • No Comment to " Lebih banyak masalah yang timbul akibat percubaan untuk menangani keadaan "