• Lebih 200,000 Pengguna Guna Perkhidmatan KLIA & KLIA2 Sempena Tahun Baru Cina

    Reporter: Yusz Man
    Published: Friday, 9 February 2018
    A- A+


    SEPANG - Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) menyasarkan lebih 200,000 pengguna akan menggunakan perkhidmatan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan KLIA2 sempena sambutan Tahun Baru China minggu hadapan.

    Ketua Operasi KLIA Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB), Mohd. Arif Jaafar berkata, daripada jumlah itu 100,000 orang merupakan pelancong asing dari China yang dijangka masuk ke negara ini melalui kedua-dua lapangan terbang berkenaan.

    "Kami menjangkakan peningkatan hampir 40 peratus pengguna di KLIA dan KLIA2 bermula 14 hingga 18 Februari ini berbanding 180,000 pengguna sehari pada waktu normal

    "Sehubungan itu, MAHB bekerjasama dengan pihak polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah KLIA bagi memastikan kelancaran perkhidmatan termasuk aliran trafik pada waktu puncak yang boleh menjangkau 55 buah kenderaan seminit yang melalui terminal lapangan terbang," katanya pada sidang akhbar khas MAHB dan IPD KLIA sempena Ops Selamat Tahun Baharu Cina di sini hari ini.

    Menurut Mohd. Arif, bagi memastikan keselesaan pengguna MAHB turut menyediakan kemudahan parkir kenderaan secara percuma selama tempoh 30 minit di tempat letak kenderaan jangka panjang KLIA dan KLIA2.

    Dalam pada itu, Ketua Polis KLIA, Asisten Komisioner Zulkifli Adam Sah memberitahu, pihak polis turut mengesan kegiatan sindiket tertentu yang menjadikan pengguna di lapangan terbang sebagai mangsa penipuan.

    "Pihak sindiket biasanya menggunkan modus operandi menghubungi mangsa dan memaklumkan bahawa barang mereka telah disekat keluar oleh pihak Kastam sebelum meminta bayaran tertentu kononnya untuk mendapatkan semula barang tersebut," katanya.

    Tambah Zulkifli, selain memastikan keselamatan di lapangan terbang, pihaknya turut menekankan aspek keselamatan di jalan raya dengan meletakkan beberapa buah kamera bagi mengurangkan kes kemalangan sempena Ops Selamat Tahun Baharu Cina.

    "Kamera tersebut diletakkan sepanjang laluan utama dari tol ke terminal KLIA dan KLIA2 bagi mengesan pesalah trafik yang memandu melebihi had laju serta meletakkan kenderaan di bahu jalan yang mengundang bahaya kepada pengguna lain.

    "Tindakan pengguna yang meletakkan kenderaan di bahu jalan berdekatan stesen minyak di laluan menghala KLIA dan KLIA2 boleh menjejaskan imej negara seolah-olah pihak berkuasa tidak mengambil tindakan mengikut undang-undang," katanya.

    Beliau berkata, bermula awal tahun ini hingga sekarang sahaja, sebanyak 160 kes kemalangan dilaporkan dengan 6,000 saman dikeluarkan berbanding 1,309 kemalangan dengan 118,114 saman dikeluarkan sepanjang tahun lalu. - K! ONLINE

    Subjects:

  • No Comment to " Lebih 200,000 Pengguna Guna Perkhidmatan KLIA & KLIA2 Sempena Tahun Baru Cina "