• Lebih 100,000 Orang Utan Di Borneo Lenyap Sejak 1999

    Reporter: uMieySurianie
    Published: Saturday, 17 February 2018
    A- A+

    JAKARTA: Kajian komprehensif tentang orang utan Borneo menganggarkan populasi haiwan itu menjunam lebih daripada 100,000 ekor sejak tahun 1999, berikutan peningkatan industri minyak sawit dan kertas yang mengecilkan habitat hutan, selain peningkatan konflik dengan manusia.

    Penemuan itu, yang akan disiarkan dalam jurnal Current Biology, adalah seiring status daripada Kesatuan Pemuliharaan Alam Sekitar Antarabangsa 2016 yang menyatakan bahawa orang utan Borneo ‘terancam secara kritikal’.

    Penyelidik dari Institut Max Planck Antropologi Perubahan Evolusi dan beberapa institusi lain berkata, populasi asal haiwan itu lebih besar daripada yang dianggarkan, namun kadar penurunan juga menjunam dengan pantas.

    Penurunan paling dramatik dikenal pasti berlaku di kawasan hutan yang diteroka untuk dijadikan ladang kelapa sawit mahupun yang ditebang untuk tujuan pembalakan.

    Kajian itu menyatakan: “Di kawasan tersebut, orang utan berdepan tekanan manusia, seperti pembunuhan akibat konflik, pemburuan, pencurian anak-anak orang utan untuk perdagangan haiwan peliharaan.

    Awal bulan ini, seekor orang utan di Borneo bahagian Indonesia mati akibat ditembak sekurang-kurangnya 130 kali dengan pistol angin, ditikam dam dipukul.

    Ia merupakan kes kedua seumpamanya di Indonesia tahun ini.

    Pakar konservasi, Erik Meijaard, berkata anggaran semasa populasi orang utan di Borneo adalah antara 75,000 hingga 100,000.

    Anggaran itu tidak tepat memandangkan perlu mengambil kira orang utan yang tinggal dalam habitat menyedihkan seperti ladang dan hutan yang terbakar.

    Bilangan itu dijangka menjunam ke angka 47,000 menjelang tahun 2025, berbanding populasi anggaran sejumlah 105,000 pada tahun 2016.

    Orang utan Sumatera, iaitu spesies berbeza, lebih terancam, dengan anggaran populasi sejumlah 12,000 ekor.

    Dalam perkembangan lain, satu kajian mendapati orang utan Borneo adalah lebih mempunyai daya tahan dan beradaptasi. Haiwan tersebut lebih banyak berjalan di atas tanah dan boleh menjadikan pelbagai jenis tumbuhan sebagai sumber makanan.

    Penyelidik berkata, keupayaan itu membolehkan orang utan tersebut menjalani hidup di hutan lebih kecil dan di landskap yang terdapat pola rimba berkelompok.

    “Satu yang haiwan-haiwan itu tidak dapat bertahan, adalah kadar pembunuhan oleh manusia,” ujar penyelidik dari Universiti John Moores, Liverpool, Serge Wich.

    Tambahnya, spesies otang utan membiak dalam kadar perlahan. Jika seekor daripada 100 orang utan dewasa 'diasingkan' dari populasi setiap tahun, kepupusan akan menjadi nyata."

    Subjects:

  • No Comment to " Lebih 100,000 Orang Utan Di Borneo Lenyap Sejak 1999 "