• Lamaran Lelaki Ini Pada Hari Kekasih 'Ditolah Mentah-Mentah' Je Depan Khalayak

    Published: Thursday, 15 February 2018
    A- A+

    Hari Valentine semuanya adalah mengenai momen-momen romantik dan bahagia termasuklah kesempatan yang digunakan oleh seorang ahli politik Arthabaska, Quebec, Eric Lefebvre semalam untuk melamar pasangannya semasa sesi perundangan, dan wanita itu menerima lamaran tersebut.

    Namun, lain pula yang berlaku kepada seorang lelaki ini apabila momen romantiknya pada Hari Kekasih bertukar ‘tragis’ apabila usaha dia untuk melamar teman wanitanya ditolak ‘mentah-mentah’ oleh kekasihnya itu, di khalayak ramai. (OMG!)

    Lelaki itu, yang lengkap memakai sut mula meluahkan isi hatinya kepada wanita cantik berkenaan selepas enam bulan mereka berkenalan.

    Memulakan ‘kejutan’ terhadap wanita berkenaan dengan kata-kata romantik, lelaki itu kemudian dilihat berdiri dan meminta orang ramai yang berada di lokasi tersebut memberi sedikit perhatian kepadanya.

    Lelaki yang berani dan berkeyakinan itu memaklumkan kepada orang ramai di beberapa lokasi dipercayai di ibu negara bahawa dia mahu melakukan ‘sesuatu’ istimewa buat teman wanitanya - meminta sokongan orang ramai untuk memberikan tepukan kepadanya.

    Dengan sikap penonton yang begitu ‘sporting’ telah menjadikan situasi tersebut semakin romantik, dan lelaki itu bertanyakan sekiranya ada mana-mana pelanggan (di restoran makanan segera dan mewah) yang tahu lagu ‘Belaian Jiwa’, nyanyian kumpulan popular 90-an Innuendo.

    Dalam keadaan berdiri, dia kemudian mula menyanyikan lagu tersebut khas untuk teman wanitanya, yang mana pada ketika itu orang ramai dilihat begitu terhibur dan tersenyum dengan gelagat romantik pasangan tersebut. (So sweet!)

    Mereka mula merakam momen-momen indah tersebut (mungkin berfikir betapa bertuahnya gadis berkenaan), sebelum memberikan tepukan gemuruh sebaik sahaja lelaki itu selesai menyanyikan lagu cinta tersebut.

    Dia kemudian berlutut, dan mula melamar kekasihnya dengan berkata, “Sudikah awak menjadi milik saya?”, sambil menghulurkan sebentuk cincin.

    Dengan keberanian, momen-momen romantik, nyanyian dan sambil diperhatikan khalayak ramai, apa yang anda jangkakan, pasti mengharapkan wanita berkenaan berkata ‘Ya’, bukan?

    Jika anda berfikiran begitu, nampaknya anda silap kerana jawapan wanita berkenaan adalah ‘tidak', malah dia turut ‘membuat’ memek muka sebelum berlalu meninggalkan lelaki romantik itu di tengah-tengah orang ramai. (Eh, hello girl)

    Situasi penuh romantik itu secara tiba-tiba bertukar menjadi suasana janggal – orang ramai hanya tergamam melihat lamaran lelaki itu ditolak begitu sahaja tanpa mampu berbuat apa-apa. (Oh, tolong jangan lakukan ini, girl!)

    Video berakhir dengan memaparkan lelaki itu ‘mengesat air matanya’, sambil beberapa individu dilihat berjabak tangan dan menepuk bahunya sebagai memberikan semangat. Sedih dan kesian bukan?

    Tetapi jangan risau, itu hanyalah ‘prank’ yang dibuat oleh portal hiburan atas talian maxman.tv, dan ia bukannya benar-benar berlaku (tetapi mungkin ada di luar sana yang pernah berdepan situasi tersebut).

    Portal tersebut, yang terkenal dengan koleksi-koleksi video ‘prank’ memuat naik semula video setahun lalu di laman Facebook mereka semalam, sempena Hari Valentine.

    “Harap-harap ini (lamaran ditolak) tidak berlaku kepada anda hari ini, Selamat Hari Kekasih,” tulis maxman.tv.

    Walaupun ia adalah rakaman lama, namun rata-rata netizen begitu terhibur dengan ‘prank’ tersebut, selain memuji mana-mana lelaki yang mempunyai sikap seperti pelakon lelaki itu.-Malaysian Digest

    Subjects:

  • No Comment to " Lamaran Lelaki Ini Pada Hari Kekasih 'Ditolah Mentah-Mentah' Je Depan Khalayak "