• Laman Web Palsu Tawar Penerbangan Murah

    Reporter: uMieySurianie
    Published: Monday, 26 February 2018
    A- A+

    KUALA LUMPUR: Seorang warga emas kerugian lebih RM145,000 selepas terpedaya dengan tawaran penerbangan murah yang ditawarkan sebuah laman web menerusi Facebook.

    Mangsa, Chua Tee Kiang, 61, berkata, beliau ditawarkan harga tiket penerbangan murah terbabit oleh seorang pekerja syarikat laman web itu, yang dikenali sebagai Melvin pada Mac tahun lalu.

    Beliau yang ingin melancong ke Eropah selama 15 hari bersama 50 rakan gerejanya terpedaya dengan tawaran terbabit.

    "Saya membuat bayaran pertama lebih RM133,000 menerusi sembilan transaksi dan diarahkan untuk membuat pembayaran ke dalam dua akaun bank syarikat tempatan pada Jun hingga September tahun lalu.

    "Saya turut membeli tiket dari Pulau Pinang ke Chennai, India, untuk sembilan rakan yang lain melalui syarikat sama," katanya dalam sidang media di Biro Pengaduan Awam MCA, di sini, hari ini.

    Tee Kiang berkata, beliau membuat bayaran kedua lebih RM11,000 ke dalam akaun bank terbabit pada 21 Julai lalu.

    "Saya pernah minta butiran tiket daripada Melvin, tetapi dia sering memberi pelbagai alasan dan berjanji untuk memberi segala butiran yang diminta.

    "Kerana terlalu musykil, saya menyuruh anak saya ke pejabat syarikat berkenaan di Petaling Jaya, Selangor pada 15 September lalu, tetapi dimaklumkan oleh pengawal keselamatan bahawa pejabat berkenaan sudah tutup pada Mac tahun lalu," katanya.

    Sementara itu, Pengerusi Biro Perkhidmatan Awam dan Aduan MCA, Datuk Seri Michael Chong, berkata pihaknya menerima lebih 10 kes membabitkan penipuan laman web membabitkan kerugian sebanyak RM240,000 sepanjang tempoh dua tahun lalu.

    "Saya menasihati orang ramai supaya lebih berhati-hati dan jangan mudah terpedaya dengan sebarang tawaran murah yang ditawarkan di laman web," katanya. - BH Online

    Subjects:

  • No Comment to " Laman Web Palsu Tawar Penerbangan Murah "