• KWSP naikkan had pengeluaran labur unit amanah

    Reporter: Yusz Man
    Published: Wednesday, 28 February 2018
    A- A+


    KUALA LUMPUR: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) menaikkan kadar pemindahan sebahagian simpanan Akaun 1 untuk pelaburan melalui Institusi Pengurusan Dana (IPD) dan dana unit amanah kepada 30 peratus berbanding 20 peratus sebelum ini.

    Ia meliputi IPD dan dana unit amanah yang layak ditawarkan di bawah Skim Pelaburan Ahli KWSP (SPA KWSP), berkuatkuasa dari 1 Mac 2018 hingga 28 Februari 2019.

    Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Pelaburan) KWSP, Datuk Mohamad Nasir Ab Latif berkata, pihaknya memberikan fleksibiliti untuk mempelbagaikan portfolio persaraan dan potensi untuk meningkatkan simpanan persaraan ahli.

    "Ahli yang memenuhi kriteria Simpanan Asas layak memindahkan sebahagian daripada simpanan Akaun 1 kepada IPD pilihan mereka.

    "Jumlah yang layak dipindahkan telah dinaikkan kepada tidak melebihi 30 peratus setiap tiga bulan daripada jumlah yang melebihi Simpanan Asas dalam Akaun 1," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

    Simpanan Asas merujuk kepada jumlah simpanan dalam Akaun 1 yang ditetapkan mengikut umur bagi memastikan ahli mempunyai simpanan minimum sekurang-kurangnya RM228,000 apabila mencapai umur 55 tahun.

    Menurutnya, berkuatkuasa tahun lalu, had 30 peratus pendedahan kepada pelaburan asing telah dimansuhkan supaya ahli yang menyertai skim berpeluang melanggani dana yang mempunyai potensi pertumbuhan tinggi serta memanfaatkan pelbagai peluang yang terdapat di pasaran asing.

    "Penambahbaikan ini mengambil kira jangkaan ahli yang berubah serta perkembangan dalam industri pengurusan dana," katanya.

    Menurutnya, KWSP juga kini sedang membangunkan portal elektronik SPA (e-Members Investment Scheme - e-MIS) di mana ahli boleh melakukan transaksi secara dalam talian dengan kos yang lebih

    rendah.

    "Platform e-MIS ini bakal diperkenalkan menjelang hujung tahun 2019.

    "Ia akan memberikan ahli lebih akses dan meningkatkan ketelusan untuk mendapatkan maklumat dana yang ditawarkan, harga serta prestasi dana di bawah skim SPA agar ahli boleh membuat perbandingan dan membuat keputusan pelaburan terbaik berdasarkan keperluan dan selera risiko masing-masing", katanya.

    Nasir berkata, buat masa ini, ahli juga boleh menggunakan Portal Maklumat Dana yang boleh diakses menerusi i-Akaun.

    Portal Maklumat ini disediakan kepada ahli bagi mendapatkan maklumat mengenai dana unit amanah yang ditawarkan di bawah SPA serta IPD yang menguruskan dana berkenaan.

    "Kemudahan ini disediakan supaya ahli dapat menjalankan penyelidikan sendiri sebelum membuat keputusan pelaburan yang terbaik," katanya.

    Sementara itu, menurutnya bagi tempoh 2018/2019, daripada 367 dana yang diluluskan di bawah SPA KWSP, 268 dana unit amanah daripada 22 IPD layak ditawarkan.

    Tahun lalu, sebanyak 373 dana diluluskan di mana 278 dana adalah daripada 22 IPD layak ditawarkan.-BHOnline

    Subjects:

  • No Comment to " KWSP naikkan had pengeluaran labur unit amanah "