• Kuwait Jemput Malaysia Sertai Persidangan Pembinaan Semula Iraq

    Published: Thursday, 8 February 2018
    A- A+
    KUALA LUMPUR, 8 Feb (Bernama) -- Kuwait mempelawa kerajaan Malaysia menyertai Persidangan Antarabangsa Pembinaan Semula Iraq yang akan berlangsung di Kuwait City dari 12 hingga 14 Feb ini.

    Persidangan anjuran bersama Kuwait, Iraq, Kesatuan Eropah, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dan Bank Dunia itu bertujuan menggerakkan sokongan antarabangsa serta rancangan pembinaan semula infrastruktur di Iraq selain memperkukuh kerjasama antara penderma antarabangsa dan pelabur swasta.

    Duta Kuwait ke Malaysia, Saad Abdullah al-Asousi, berkata pihaknya telah menghantar surat jemputan rasmi kepada Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Najib Tun Razak untuk menghadiri persidangan itu.

    "Malaysia sebuah negara maju dan berdaya saing dalam sektor pembinaan yang mungkin dapat menyumbang kepada projek pembinaan semula infrastruktur Iraq."

    "Persidangan yang dinaungi Emir Kuwait, Sheikh Sabah al-Ahmad al-Sabah, juga memerlukan kepakaran dari seluruh negara termasuk Malaysia bagi menjayakan dan membangunkan semula Iraq," katanya kepada Bernama dalam temu bual eksklusif di pejabat beliau di sini baru-baru ini.

    Mengulas lanjut, al-Asousi berkata persidangan ini diadakan buat julung kali setelah Iraq bebas sepenuhnya daripada penguasaan kumpulan pengganas Daesh.

    Pada 9 Dis lepas, Perdana Menteri Iraq, Haider al-Abadi, telah mengisytiharkan kemenangan tenteranya ke atas Daesh.

    "Kami juga ingin mempelawa syarikat-syarikat Malaysia untuk turut serta dalam persidangan ini dan bersaing dengan syarikat antarabangsa bagi mendapatkan sebahagian daripada projek pembangunan tersebut."

    "Setakat ini, lebih 1,800 syarikat dari 70 negara telah mengesahkan kehadiran mereka dalam persidangan ini," katanya.

    Mesyuarat Peringkat Menteri Pakatan Antarabangsa Memerangi Daesh akan turut diadakan pada 13 Feb bagi merangka usaha dan strategi dalam kalangan negara anggota untuk memerangi keganasan.

    Beliau berkata menerusi mesyuarat itu, Kuwait akan membawa mesej yang jelas dan mudah difahami untuk membanteras keganasan dari segala aspek. - BERNAMA

    Subjects:

  • No Comment to " Kuwait Jemput Malaysia Sertai Persidangan Pembinaan Semula Iraq "