• Kurang Kesedaran Punca Virus Rabies Kembali Di Sarawak

    Published: Friday, 9 February 2018
    A- A+


    PASIR SALAK – Kurang kesedaran dan sikap sambil lewa masyarakat setempat punca virus rabies atau anjing gila kembali menular di Sarawak.

    Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman berkata kes terbaharu ialah seorang lelaki berusia 59 tahun yang dilaporkan hanya mendapatkan rawatan selepas dua bulan digigit anjing, menunjukkan sikap ambil mudah dan tidak fokus dalam membantu kerajaan membasmi virus itu.

    Beliau berkata kelewatan mendapatkan rawatan menyebabkan keadaan mangsa bertambah teruk sehingga tidak dapat diselamatkan.

    “Dia kena gigit anjing tapi tak nak jumpa doktor. Lepas sebulan dua baharu pergi. Kalau kena gigit binatang tu janganlah lengah-lengah, pergilah jumpa doktor untuk dapatkan rawatan segera.

    “Sikap sambil lewa inilah yang menyebabkan virus ini tak dapat kita banteras hingga kini,” katanya pada sidang media selepas penyerahan Bantuan Awal Persekolahan di Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Abdul Jalil Shah di Seberang Perak di sini, hari ini.

    Mangsa keenam yang meninggal dunia pada 4 Feb lalu itu berasal dari Jalan Batu Kawa-Matang dikesan digigit anjing pada November tahun lalu di kawasan Jalan Batu Kawa-Matang sebelum disahkan menghidap rabies pada 24 Jan lepas, setelah mengalami simptom hydrophobia, halusinasi dan agresif.

    Hingga semalam, jumlah kes rabies masih tujuh mangsa iaitu enam meninggal dunia dan hanya seorang kes selamat iaitu kanak-kanak tujuh tahun dari Kampung Kuala, Serian.

    Dalam pada itu, Tajuddin yang juga Anggota Parlimen Pasir Salak berkata vaksin serta doktor pakar mencukupi telah ditempatkam di kawasan kurantin sejak kes tersebut terjadi pada tahun lalu. – BERNAMA

    Subjects:

  • No Comment to " Kurang Kesedaran Punca Virus Rabies Kembali Di Sarawak "