• Kumpul Duit Syiling Demi Kos Pembedahan Anak…

    Published: Thursday, 8 February 2018
    A- A+

    Jika anda terjumpa sekeping wang syiling 5 sen terjatuh di atas jalan, adakah anda akan kutip dan menyimpannnya?

    Rasanya, pasti dibuat tidak tahu saja dan menganggap duit syiling tersebut seperti tiada apa-apa nilai.

    Iyalah, nak dibuat apa dengan 5 sen kan… air kosong sekarang ini pun harganya sudah cecah RM1.

    Pun begitu, bagi sesetengah individu duit logam seperti 1 sen atau 5 sen ini sebenarnya sangat penting dan begitu besar nilainya.

    Lapor Nextshark, gambar seorang lelaki dari Filipina yang dilihat gigih mengira beratus-ratus duit syiling di atas lantai di sebuah hospital telah menyentuh perasaan ramai netizen di media sosial.

    “Ini bapa kepada bayi comel di belakangnya, melihat gambar ini saja sudah membuatkan saya merasa sebak.

    “Dia sedang mengira duit syiling untuk membayar kos rawatan pembedahan hospital anaknya yang sedang sakit,” tulis di kapsyen gambar yang dimuat naik oleh seorang pengguna Facebook, Jenny Sumalpong.

    Foto yang memaparkan bapa tersebut, Jeric Aquino Trestre, mendapat pelbagai reaksi daripada netizen yang rata-rata sedih dan bersimpati denga nasib yang dialami keluarga lelaki berkenaan.

    Jeric dikatakan sedang mengumpul sejumlah duit syiling untuk membayar rawatan perubatan buat anaknya Zhianna Ezra atau Esang yang baru berusia 11 bulan.

    Anaknya itu menghidap Biliary Atresia, iaitu sejenis penyakit berkaitan organ hempedu yang amat jarang dilaporkan berlaku kepada kanak-kanak

    Menurut doktor, penyakit itu memerlukan rawatan dengan segera namun akibat kekangan kewangan, pembedahan Esang terpaksa ditangguhkan sehingga bapanya memperoleh wang yang mencukupi.

    Situasi Jeric yang mengira wang di atas lantai itu turut dirakam oleh seorang staf perubatan yang kebetulan bekerja di syif malam.

    Biarpun kisahnya sudah menjadi tular, namun lelaki berkenaan dikatakan masih belum berjaya mengumpul wang yang mencukupi untuk pembedahan anak kesayangannya itu.

    Sehingga kini, Jeric dan isterinya yang bekerja sebagai pekerja kilang hanya berjaya mengutip kira-kira 200,000 peso (RM41,800).

    Keluarga itu masih memerlukan sekurang-kurangnya 1.6 juta peso (RM120,000) untuk menjalani pembedahan yang akan diadakan di Hospital Appollo, New Delhi, India.

    “Di India jauh lebih murah, kos pembedahan di Taiwan hampir 4 Juta peso dan di Filipina pula 4.5 juta peso.

    “Saya terdesak dan kerana itulah saya mengumpul sebanyak mana syiling yang ada bagi mencukupkan jumlah sedia ada.

    “Tidak ada ibu bapa sanggup melihat kesakitan yang dialami anaknya dan saya akan buat apa sahaja untuk melihat anak hidup dengan sihat,” kata Jeric. – MYNEWSHUB.CC

    Subjects:

  • No Comment to " Kumpul Duit Syiling Demi Kos Pembedahan Anak… "