• KR1M 2.0 dibuka di utara Semenanjung, Sabah, Sarawak

    Reporter: Yusz Man
    Published: Friday, 23 February 2018
    A- A+

    BATU KURAU: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) sudah berbincang dengan dua syarikat besar untuk membuka Kedai Rakyat Satu Malaysia (KR1M 2.0) di utara Semenanjung, Sabah dan Sarawak tidak lama lagi.

    Menterinya, Datuk Seri Hamzah Zainudin, berkata sebuah daripada syarikat berkenaan akan membuka KR1M 2.0 di kawasan utara membabitkan negeri Perak, Pulau Pinang, Kedah dan Perlis.

    Katanya, sebuah lagi syarikat akan membuka KR1M 2.0 di Sabah dan Sarawak.

    "Saya sedang berbincang dengan dua syarikat besar itu kerana ia memerlukan beberapa penyesuaian, sedikit terutama di kawasan utara.

    "Saya tidak boleh bagi (maklumat) lengkap, bila perbincangan selesai saya akan umumkan," katanya.

    Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Agung Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dan Bantuan Khas Awal Persekolahan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kampung Perak di sini, hari ini.

    Dalam pada itu, Hamzah turut mengulas kenyataan Menteri Pembangunan Masyarakat dan Hal Ehwal Pengguna Sabah, Datuk Jainab Ahmad, semalam yang mahukan usahawan dari Sabah diberi peluang untuk mamasarkan barangan di KRIM 2.0.

    Katanya, bagi Sabah dan Sarawak, KPDNKK akan melantik syarikat di negeri berkenaan untuk mengendalikan operasi KRIM 2.0

    "Kita tak mahu ada orang yang akan mempertikaikan nanti, jadi biar Sabah dan Sarawak orang sana yang buat," katanya.

    Menurutnya, pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak untuk mewujudkan KRIM 2.0 dalam pembentangan Bajet 2018 dilaksanakan dengan penubuhan 50 KR1M itu di seluruh negara.

    KR1M 2.0 merupakan penjenamaan semula daripada KR1M yang diperkenalkan sejak 2011.

    Dalam pada itu, Hamzah yang juga Ahli Parlimen Larut turut meluluskan peruntukan sebanyak RM200,000 bagi penambahbaikan di SMK Kampung Perak dan RM5,000 kepada Kelab Sekolah Ibu Bapa SMK Batu Kurau.-BHOnline

    Subjects:

  • No Comment to " KR1M 2.0 dibuka di utara Semenanjung, Sabah, Sarawak "