• KR1M 2.0 Akan Diperluas Ke Kedai Runcit Persendirian

    Reporter: uMieySurianie
    Published: Tuesday, 13 February 2018
    A- A+

    KUALA LUMPUR - Inisiatif Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M) 2.0 akan diperluas ke kedai-kedai runcit persendirian seluruh negara dalam usaha memastikan rakyat dapat menikmati harga barangan yang lebih berpatutan daripada harga pasaran.

    Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata, perluasan ke kedai-kedai runcit persendirian itu merangkumi fasa ketiga bagi KR1M 2.0 selepas pasar raya besar melibatkan Tunas Manja Group (TMG) dan kedai serbaneka menerusi KK Super Mart.

    Walaupun begitu, Hamzah memberitahu pihaknya bersama-sama Tunas Manja Group (TMG) sebagai rakan strategik utama tidak akan terburu-buru melaksanakan fasa ketiga berkenaan memandangkan pelbagai perkara yang perlu diteliti.

    “Kita perlu melihat daripada pelbagai sudut termasuk melibatkan kos logistik dan pusat pengedaran bagi memastikan kedai-kedai runcit persendirian itu dapat menawarkan produk KR1M pada harga yang kompetitif.

    “TMG juga telah menerima kira-kira 20 panggilan daripada pengusaha kedai runcit yang berminat menyertai KR1M 2.0 selepas mula dilancarkan 4 Februari lalu, namun pada masa ini kami masih dalam proses perbincangan bagi melaksanakan fasa ketiga ini,” katanya.

    Beliau berkata demikian kepada pemberita dalam sesi taklimat mengenai KR1M 2.0 di sini hari ini.

    Yang turut hadir, Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Henry Sum Agong; -Timbalan Ketua Setiausaha (Perdagangan Dalam Negeri) Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), Datuk Basaruddin Sadali; Pengerusi Perbadanan Nasional Bhd. (PNS), Datuk Seri Syed Ali Syed Abbas Alhabshee dan Pengarah Urusan PNS, Datuk Syed Kamarulzaman Syed Zainol Khodki Shahabudin. - UTUSAN ONLINE

    Subjects:

  • No Comment to " KR1M 2.0 Akan Diperluas Ke Kedai Runcit Persendirian "