• Kopi Berperisa Durian Dicampur Dadah?

    Reporter: Bukan Nama Sebenar
    Published: Friday, 2 February 2018
    A- A+


    PULAU PINANG: Polis sedang menyiasat kemungkinan kopi berperisa durian yang menyebabkan dua pekerja Nepal mengalami gejala seperti sawan dan letih teruk dicampur sejenis dadah.

    Menurut sumber, ini kerana hasil siasatan awal mendapati kandungan peket kopi itu bercampur sejenis bahan asing dipercayai dadah yang kini sedang dikenal pasti.

    Jelasnya, bahan itu dipercayai ditambah ke dalam peket kopi tersebut berdasarkan perbezaan berat sebenar produk berkenaan selain terdapat kesan koyakan pada peket kopi terbabit sebelum dibungkus semula.

    “Difahamkan pada pagi hari kejadian, seorang wanita Cina memberi warga Nepal itu 16 peket kopi tersebut yang didakwa hasil derma di sebuah tokong sebelum menghilangkan diri.

    “Warga Nepal itu kemudian membancuh kopi tersebut de­ngan air panas dan selepas kira-kira dua minit meminumnya, mereka diserang sakit dada dan sukar bernafas sebelum tidak sedarkan diri,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

    Dalam kejadian Sabtu lalu, dua warga Nepal yang bekerja sebagai pengawal keselamatan di sebuah pangsapuri di Pulau Tikus di sini dikejarkan ke hospital akibat di­serang sawan dan letih teruk selepas mendakwa meminum kopi putih berperisa durian.

    Kejadian itu menjadi tular di laman sosial dan Jabatan Kesihatan negeri kemudiannya mengesahkan seramai lima individu me­ngalami gejala sama dan dirawat di Hospital Pulau Pinang (HPP) di sini akibat meminum kopi tersebut.

    Kata sumber itu, tiga hari sebelum kejadian menimpa warga Nepal berkenaan, dua wanita tempatan turut dimasukkan ke HPP selepas mengalami gejala sama akibat meminum kopi tersebut.

    Katanya, wanita Cina itu juga mendakwa mendapat kopi berperisa durian tersebut daripada individu yang mendermakannya di sebuah tokong.

    Sementara itu, Pengarah Ja­batan Kesihatan negeri, Dr. Wan Mansor Hamzah berkata, pihak­nya ketika ini sudah selesai menjalankan siasatan ke atas sampel kopi dan gejala yang dihadapi pesakit dalam kejadian tersebut.

    Menurut beliau, maklumat berhubung kes berkenaan telah diserahkan kepada pihak Kementerian Kesihatan untuk siasatan dan tindakan lanjut.

    - Utusan Online

    Subjects:

  • No Comment to " Kopi Berperisa Durian Dicampur Dadah? "