• Kontraktor Tempatan Dapat 30 Peratus Kerja Sivil ECRL

    Published: Thursday, 22 February 2018
    A- A+
    BENTONG: Kontraktor tempatan diperuntukkan sekurang-kurangnya 30 peratus kerja sivil bagi projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) bernilai RM55 bilion, bermula April ini.

    Kontrak berkenaan, yang dianggarkan bernilai "beberapa bilion ringgit" dijangka mengukuhkan jumlah kontrak dalam tangan kontraktor bakal terpilih dengan Gamuda Bhd, IJM Corp Bhd, Gabungan AQRS Bhd, WCT Holdings Bhd, WZ Satu Bhd dan Fajarbaru Builder Group Bhd dilaporkan menjadi calon serius.

    Ketua Pembinaan Malaysia Rail Link, Noor Azlan Salleh, berkata tahun ini akan menyaksikan dua set tender dikeluarkan, satu daripadanya pada April dan berikutnya berkemungkinan pada Oktober.

    "Apa yang cuba kami lakukan tahun ini adalah memulakan kerja infrastruktur, khususnya membabitkan kerja kekal. Manakala, kerja-kerja utama ketika ini dikendalikan oleh kontraktor utama, China Communications Construction Company.

    "Bagi memulakan kerja kekal, 30 peratus kerja sivil akan diberikan kepada kontraktor tempatan April ini. Namun, kerja bagi kontraktor tempatan tidak terhad setakat itu saja. Mereka boleh membida kerja lain seperti kerja sistem dan sebagainya," katanya pada taklimat media di sini, hari ini.

    Noor Azlan berkata, 60 peratus daripada kerja pembinaan keseluruhan projek ECRL terdiri daripada kerja infrastruktur manakala baki 40 peratus terdiri daripada kerja sistem.

    "Kami tidak memiliki nilai sebenar bagi tender pertama yang akan diberikan kepada kontraktor utama, namun masih lagi sedang merangka fomula keseluruhan yang dianggarkan bernilai beberapa bilion ringgit," tambahnya. - BHOnline

    Subjects:

  • No Comment to " Kontraktor Tempatan Dapat 30 Peratus Kerja Sivil ECRL "