• Kontraktor Pan Borneo Diminta Bertanggungjawab Terhadap Bekalan Air Yang Terganggu

    Reporter: Admin
    Published: Tuesday, 6 February 2018
    A- A+
    KUCHING: Kementerian Utiliti Sarawak meminta kontraktor yang terlibat dalam pembinaan Projek Lebuhraya Pan Borneo di negeri ini bertanggungjawab terhadap gangguan bekalan air yang berlaku akibat projek tersebut.

    Kementerian Utiliti menerusi kenyataannya kepada media semalam memberitahu, jika berlaku sebarang gangguan bekalan air yang berpunca daripada kerosakan saluran paip sedia ada berikutan kerja pembinaan jalan, rakan pelaksana projek dan kontraktor pakej terbabit perlu memikul tanggungjawab serta membayar kos pembaikan saluran paip yang rosak itu.

    Menurut kenyataan itu, Kementerian Utiliti sangat bimbang terhadap kejadian gangguan bekalan air yang semakin kerap.

    “Gangguan ini menyebabkan kesulitan yang besar kepada pengguna yang terjejas kerana mereka menghadapi masalah paip tanpa air dan dalam kes tertentu tekanan air paip menjadi sangat rendah untuk beberapa hari,” katanya kenyataan itu.

    Kementerian itu turut mengingatkan, terdapat banyak laporan berkaitan gangguan bekalan air diterima akibat paip pecah berpunca daripada kerja-kerja penggalian yang dijalankan oleh kontraktor pakej Lebuhraya Pan Borneo yang dilaporkan dalam akhbar tempatan.

    Kementerian turut menegaskan, pihak kontraktor dikehendaki mematuhi prosedur operasi standard yang ditetapkan bagi memastikan bahawa perkhidmatan utiliti tidak terganggu dengan apa jua cara.

    “Kementerian akan berkerjasama erat dengan pihak Lebuhraya Borneo Utara dan kontraktor yang berkenaan untuk menjalankan kerja mereka dengan penuh perhatian dan memastikan tiada gangguan bekalan air akibat kerosakan paip yang disebabkan kerja-kerja penggalian,” kata kenyataan itu. – Sarawakiana
  • No Comment to " Kontraktor Pan Borneo Diminta Bertanggungjawab Terhadap Bekalan Air Yang Terganggu "