• Konsesi Tol Terowong Bakal Paling 'Berat Sebelah' - Fadillah

    Published: Monday, 12 February 2018
    A- A+
    KUALA LUMPUR: Isu terowong dasar laut Pulau Pinang sepanjang 7.2 kilometer, kini terarah kepada empat aspek percanggahan yang disifatkan tidak menepati garis panduan asas pelaksanaan projek.

    Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof, berkata perkara 'pokok' yang terus menjadi persoalan adalah mengenai unjuran Kerajaan Pulau Pinang untuk memulakan pembinaan terowong itu pada 2023, walaupun projek terbabit diluluskan pada 2013.

    Pengurusan janggal itu, katanya, tidak pernah dijadikan sandaran oleh kerajaan untuk menganugerahkan kontrak projek yang hanya akan mula dibina sedekad kemudian kerana keadaan alam sekitar, trafik dan penggunaan tanah berubah mengikut garis masa.

    "Kaedah pembayaran menerusi penentuan awal tanah tepi laut Pulau Pinang yang bernilai tinggi berdasarkan harga semasa pula mungkin menyebabkan kerajaan negeri terlebih bayar kos pembinaan apabila projek terowong dasar laut itu dimulakan pada masa depan.

    "Berdasarkan perangkaan harga zon utama Pulau Pinang beberapa dekad lalu, kita jangkakan nilai tanah yang diberikan sebagai kaedah pembayaran ini mungkin menjadi dua hingga tiga kali ganda apabila pembinaan projek terowong dasar laut siap pada 2037.

    "Lebih pelik apabila kontraktor diberikan konsesi mengutip tol untuk tempoh 30 tahun, berkadar sama dengan jambatan kedua Pulau Pinang walaupun kerajaan negeri menampung sepenuhnya kos pembinaan terowong dasar laut yang dibayar menerusi pemberian tanah yang ditentukan secara awal," katanya dalam kenyataan, hari ini.

    Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, menerusi catatan terbaharu di blog rasminya, NajibRazak.com, Jumaat lalu, mempersoalkan keperluan membina terowong dasar laut di Pulau Pinang, memandangkan negeri itu ketika ini mempunyai dua jambatan sedia ada.

    Selain bakal dinobat antara konsesi tol paling 'berat sebelah', Fadillah berkata, kontraktor terowong dasar laut Pulau Pinang akan meraih keuntungan berlipat kali ganda daripada lonjakan nilai tanah Negeri Pulau Mutiara dan kutipan pembayaran pengguna laluan sepanjang 7.2 kilometer berkenaan dalam tempoh 30 tahun.

    "Ini bercanggah dengan perjanjian konsesi standard yang lazimnya memperuntukkan kos pembinaan ditampung syarikat kontraktor bagi membolehkan mereka menjelaskan pinjaman berkaitan dan menjana keuntungan menerusi pembayaran tol.

    "Walaupun Kerajaan Pulau Pinang ada menghantar surat bertanyakan kemungkinan membina jambatan berbanding terowong, dua tahun lalu, kejujuran permohonan mereka masih terus menjadi persoalan.

    "Ia susulan kegagalan kerajaan negeri mengemukakan dokumen sokongan berhubung laporan kajian kebolehlaksanaan terowong dasar laut, membabitkan nilai pembayaran melampau RM305 juta," katanya.

    Fadillah berkata, kebimbangan terarah kepada kewajaran membina terowong dasar laut mengikut aspek keanjalan kewangan memandangkan kadar penggunaan semasa jambatan pertama dan kedua Pulau Pinang, masing-masing 87 dan 50 peratus.

    Katanya, kadar penggunaan kedua-dua laluan itu boleh ditingkatkan atau diperluaskan, justeru tiada keperluan untuk membina terowong dasar laut.

    "Sungguhpun Jalan Berkembar Pesisiran Pantai Utara dari Tanjung Bungah ke Teluk Bahang meliputi sepanjang 10.5 kilometer berupaya menyingkatkan tempoh perjalanan selama 10 minit berdasarkan kos pembinaan RM1 bilion, ia mengundang kebimbangan lain.

    "Jalan ini bakal dibina atas lereng bukit curam yang sensitif terhadap sebarang perubahan alam sekitar, sekali gus menjurus kepada beberapa laluan sempit sehingga berupaya mencetuskan kesesakan terhadap sistem trafik berdekatan," katanya. - BHOnline

    Subjects:

  • No Comment to " Konsesi Tol Terowong Bakal Paling 'Berat Sebelah' - Fadillah "