• KKWL Mahu Sarawak Kekal Sebagai Kubu Kekuatan BN

    Reporter: uMieySurianie
    Published: Friday, 9 February 2018
    A- A+

    KUCHING: Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) mahu memastikan Sarawak kekal sebagai kubu kekuatan Barisan Nasional (BN).

    Perkara tersebut disuarakan oleh Menterinya, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang meminta semua agensi di bawah KKLW khususnya Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) bekerja keras untuk memastikan kemenangan besar berpihak BN pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) nanti.

    Memetik laporan Utusan Borneo, beliau berkata kemenangan BN dalam PRU14 nanti akan membolehkan projek-projek pembangunan untuk Sarawak khususnya di kawasan luar bandar dapat diteruskan.

    “Jadi kita pastikan Sarawak yang selama ini menjadi kubu BN akan kekal menjadi kubu kekuatan BN.

    “Saya percaya anda semua di peringkat akar umbi menjalankan tugas masing-masing mulai hari ini, kakitangan KEMAS, RISDA mahupun MARA.

    “Semua kakitangan KEMAS mulai hari ini perlu kerja kuat di peringkat akar umbi untuk memastikan BN menang dalam PRU14 nanti,” katanya.

    Justeru menurutnya, pelaksanaan projek pembangunan untuk (luar bandar) Sarawak akan dilaksanakan dan akan memastikan semua kampung di Sarawak menikmati bekalan air, elektrik dan jalan kampung menjelang 2030.

    Berdasarkan perancangan kerajaan negeri, katanya, KKLW juga mempunyai perancangan untuk menyelesaikan isu keperluan asas penduduk luar bandar Sarawak, namun rundingan harus melibatkan dua kerajaan yang sama iaitu kerajaan BN persekutuan dengan kerajaan BN negeri.

    “Kalau kerajaan Sarawak BN tetapi di peringkat pusat bukan (BN), masalah-masalah yang dibangkitkan oleh kerajaan negeri tidak boleh diselesaikan.

    “Kerajaan Negeri Sarawak sudah sah BN, sudah menang tahun lepas maknanya ia akan kekal sehingga lima tahun lagi. Adalah susah dari segi pentadbiran kalau ada dua kerajaan berbeza,” katanya.

    Ismail Sabri juga menegaskan kakitangan KEMAS yang sangat dekat dengan akar umbi perlu aktif melibatkan diri dengan komuniti setempat agar keperluan serta masalah mereka dapat difahami seterusnya diselesaikan.

    “Berikan juga pemahaman kepada rakyat luar bandar khasnya bahawa kerajaan yang ada hari ini akan meneruskan agenda pembangunan untuk kepentingan rakyat Sarawak dan beritahu kita mesti memastikan BN menang besar pada PRU14 khasnya di Sarawak,” ujarnya. – Sarawakiana
  • No Comment to " KKWL Mahu Sarawak Kekal Sebagai Kubu Kekuatan BN "