• KKM Akan Periksa Spesimen Di Rak Kedai, Pasar Raya

    Reporter: Bukan Nama Sebenar
    Published: Monday, 5 February 2018
    A- A+


    KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan akan memeriksa spesimen jenama kopi pra campuran dijual di kedai atau pasar raya berikutan dakwaan kopi tersebut menyebabkan lima individu di Pulau Pinang mengalami gejala letih dan lemah teruk selepas meminumnya.

    Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. S. Subramaniam berkata kementerian sebenarnya telah menjalankan pemeriksaan di kilang kopi pra campuran tersebut dan tidak dapat menemukan bukti yang berkaitan dengan kes tersebut.

    “Sekarang, kami akan memeriksa spesimen kopi pra campuran di rak-rak kedai atau pasar raya untuk memastikan sama ada terdapat sesuatu yang menyebabkan gejala itu,” kata beliau kepada pemberita selepas melancarkan program “Minggu Kanser Sedunia” 2018 di sini, hari ini.

    “Sekiranya terdapat unsur jenayah yang dilakukan oleh pihak lain, maka ia harus ditangani dengan cara yang berbeza,” katan beliau.

    Tiga lelaki dan dua wanita dilaporan dirawat di Hospital Pulau Pinang antara 28 dan 30 Januari selepas mengalami keletihan dan kelemahan melampau. Mereka dikatakan telah meminum kopi pra campuran tersebut.

    Semalam, dua pemandu lori sampah menerima rawatan di hospital yang sama selepas meminum kopi putih pra campuran itu yang menyebabkan mereka mengalami pening dan muntah.

    Subramaniam berkata beliau juga telah meminta bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan kementerian melakukan pengambilan sampel kopi itu secara rawak.



    “Apabila mereka melakukan pengambilan sampel secara rawak, mereka dapat memastikan sama ada ia menunjukkan apa-apa keputusan yang positif atau sebaliknya,” kata beliau sambil menambah hasil siasatan akan diketahui selepas seminggu.

    Program itu yang dianjurkan bersama oleh Persatuan Kebangsaan Kanser Malaysia (NCSM) dan The Temple of Fine Arts (TFA) diadakan sempena Hari Kanser Sedunia yang disambut semalam.

    Presiden NCSM, Dr. S. Saunthari berkata 37,000 orang didiagnosis menghidap kanser setiap tahun di Malaysia dan 22,000 orang meninggal dunia akibat kanser.

    Beliau berkata kadar kematian yang tinggi akibat kanser sebahagiannya disebabkan kurangnya langkah-langkah di peringkat awal bagi mengesan tanda-tanda penyakit itu sambil menambah kanser paling umum sekarang didiagnosis pada peringkat lewat.

    Sebagai contoh, 40 peratus daripada pesakit kanser payudara didiagnosis pada peringkat tiga atau empat, 65 peratus pesakit kanser kolorektal mengalami nasib yang sama sementara 60, 90 dan 60 peratus bagi kanser servik, paru-paru dan “nasopharyngeal”, kata Dr. Saunthari.

    Beliau berkata persatuan itu akan menganjurkan Kongres Kanser Sedunia pada Oktober apabila beribu-ribu pakar kawalan kanser dari seluruh dunia akan berkongsi idea, amalan terbaik dan kisah kejayaan mereka.

    “Malaysia ialah negara pertama di Asia Tenggara mengadakan kongres itu dan ini merupakan peluang terbaik bagi pihak-pihak berkepentingan, di peringkat nasional atau serantau, untuk saling behubung dan mempelajari pengalaman satu sama lain,” kata beliau. – BERNAMA

    Subjects:

  • No Comment to " KKM Akan Periksa Spesimen Di Rak Kedai, Pasar Raya "