• KGBS Sambut Baik Saranan KPM Galakkan Murid Sertai Sukarelawan

    Published: Thursday, 1 February 2018
    A- A+

    KUCHING: Saranan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menggalakkan pelajar sekolah menyertai program kesukarelaan disambut baik oleh Kesatuan Guru Bumiputera Sarawak (KGBS).

    Bagaimanapun, ianya harus dilakukan secara bersyarat iaitu dengan meletakkan garis panduan yang jelas agar tidak mengganggu matlamat dalam pendidikan kata Presidennya Ahmad Mali.

    Memetik laporan Utusan Borneo, katanya lagi, memandangkan mereka masih muda dan bertaraf pelajar, pelajaran mesti diutamakan walaupun penglibatan mereka dalam program sukarelawan banyak mendatangkan faedah.

    “Kami (KGBS) tidak mahu pelajar-pelajar ini terlalu aktif dalam program sukarela sehinggakan pendidikan mereka terabai.

    “Justeru, KGBS menyarankan agar diwujudkan garis panduan yang sesuai bagi mereka yang terlibat dan mahu melibatkan diri dalam apa jua program atau badan kesukarelaan,” katanya ketika diminta mengulas mengenai saranan Timbalan Menteri Pendidikan Datuk Chong Sin Woon pada Selasa lalu.

    Menurutnya lagi, garis panduan tersebut juga mesti mensyaratkan pelajar sekolah hanya boleh terlibat dalam program sukarelaan yang sah dan berdaftar sahaja bagi menjamin keselamatan mereka.

    “Kalau ini tidak diambil perhatian, dikhuathiri keselamatan mereka mungkin tidak diambil peduli sesetengah badan sukarela,” katanya.

    Beliau turut mengingatkan pelajar supaya berhati-hati ketika melibatkan diri dalam organisasi sukarela.

    “Ini kerana mereka masih lagi tergolong dalam kumpulan pelajar dan terikat dengan peraturan persekolahan atau institusi pendidikan masing-masing,” katanya. – Sarawakiana
  • No Comment to " KGBS Sambut Baik Saranan KPM Galakkan Murid Sertai Sukarelawan "