• Ketulusan Perdana Menteri Terbayang Melalui Peruntukan Besar Kepada Sabah, Sarawak

    Reporter: Bukan Nama Sebenar
    Published: Friday, 23 February 2018
    A- A+


    KOTA MARUDU -- Peningkatan besar peruntukan bagi projek pembangunan di Sabah menunjukkan ketulusan hati Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang memberi perhatian kepada penduduk di negeri ini dan Sarawak.

    “Beliau (Najib) adalah perdana menteri yang paling prihatin,” kata Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air Datuk Seri Dr Maximus Ongkili yang juga Anggota Parlimen Kota Marudu.

    Beliau berkata peningkatan peruntukan bagi infrastruktur asas seperti jalan, air, kesihatan, perumahan luar bandar dan pendidikan adalah bukti keikhlasan pemimpin nombor satu negara dalam merapatkan jurang pembangunan antara Sabah, Sarawak dan Semenanjung Malaysia.

    “Pelajar sekolah kami terus menikmati bantuan seperti pakaian seragam dan kasut percuma dan juga menerima bantuan pendidikan seperti KWAMP (Kumpulan Wang Amanah Pelajar Miskin), bantuan RM100 untuk pelajar serta Siswa 1Malaysia, untuk meringankan beban ibu bapa pada permulaan penggal baharu persekolahan,” kata beliau.

    Ongkili berkata demikian selepas menyampaikan bantuan pendidikan RM100 kepada 697 pelajar tiga buah sekolah di sini iaitu Sekolah Kebangsaan Tigaman, Sekolah Kebangsaan Mangaris dan Sekolah Kebangsaan Tagaroh hari ini.

    Selain itu, beliau berkata Najib telah mengumumkan peruntukan yang tidak pernah diumumkan dahulu iaitu sebanyak RM1 bilion tahun ini bagi membangunkan dan menaik taraf sekolah di Sabah dan Sarawak.

    “Di bawah fasa pertama program, 107 sekolah di luar bandar telah dipilih dan kira-kira setengah bilion telah diperuntukkan sama ada untuk membaiki dan membina semula sekolah-sekolah daif, pembinaan bilik darjah baharu serta menaik taraf sistem pembetungan,” kata beliau.

    Beliau menggesa ibu bapa dan guru untuk bekerjasama dengan pihak sekolah demi memastikan pelajar mendapat bimbangan yang secukupnya untuk mencapai kecemerlangan dan berusaha ke arah kecemerlangan dalam pendidikan.

    Selain itu, beliau berkata projek pembangunan lain termasuk pembinaan Lebuhraya Pan Borneo, yang sedang dilaksanakan bertujuan untuk merapatkan jurang antara Sabah, Sarawak dan Semenanjung Malaysia.

    “Ini mencerminkan ketulusan perdana menteri dan komitmen penuh beliau untuk memastikan pembangunan di Sabah dan Sarawak seiring dengan di Semenanjung.

    -- BERNAMA

    Subjects:

  • No Comment to " Ketulusan Perdana Menteri Terbayang Melalui Peruntukan Besar Kepada Sabah, Sarawak "