• Ketulan Syabu Dalam Tong Jerikin

    Reporter: Azmin Ramlie
    Published: Monday, 5 February 2018
    A- A+
    KLANG: Dadah disembunyikan di dalam tong jerikin sebelum diseludup keluar melalui perairan negara, itu adalah taktik yang dilakukan satu sindiket penyeludupan dadah bagi mengaburi mata pihak berkuasa.

    Bagaimanapun, kegiatan itu berjaya ditumpaskan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Sabtu lalu.

    Timbalan Pengarah JSJN Bukit Aman, Datuk Kang Chez Chiang berkata, sindiket berkenaan ditumpaskan selepas tiga serbuan yang dilakukan sekitar daerah Klang antara jam 10.45 hingga 11.30 malam.

    "Hasil serbuan, polis berjaya menahan empat lelaki berusia 27 hingga 44 tahun iaitu dua warga tempatan manakala dua lagi adalah warganegara Indonesia.

    "Polis turut merampas 29 kilogram dadah dipercayai syabu dianggarkan bernilai RM2.05 juta yang disembunyikan di dalam tong jerikin yang diletakkan di dalam sebuah teksi milik salah seorang suspek yang ditemui di Pulau Indah, di sini," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan, di sini, hari ini.

    Beliau berkata, tong jerikin berkenaan ditebuk di bahagian bawah dan 27 ketulan mampat syabu dimasukkan ke dalamnya sebelum dibawa ke sempadan perairan negara berdekatan Aceh untuk diseludup ke Indonesia.

    "Difahamkan, ahli sindiket akan membawa dadah ke perairan antarabangsa dan sebuah lagi bot dari negara jiran akan menunggu untuk mengambil bekalan dadah itu.

    "Hasil ujian air kencing yang dijalankan terhadap suspek, kita mendapati seorang lelaki tempatan dan seorang lelaki warga Indonesia positif dadah jenis syabu," katanya.

    Chiang berkata, harga yang tinggi iaitu tiga kali ganda dari harga pasaran tempatan dipercayai menjadi faktor sindiket ini menyeludup dadah ke Indonesia.

    Katanya, kejayaan serbuan berkenaan adalah hasil perkongsian maklumat bersama Badan Narkotika Nasional, Indonesia.

    "Kesemua suspek ditahan reman tujuh hari dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya. - BHOnline

    Subjects:

  • No Comment to " Ketulan Syabu Dalam Tong Jerikin "