• Kes Jong-Nam Jadi Rujukan Ancaman Bioterorisme

    Published: Friday, 9 February 2018
    A- A+

    PUTRAJAYA – Insiden pembunuhan abang pemimpin Korea Utara, Kim Chol atau Kim Jong-nam, di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) pada tahun lepas yang melibatkan ejen saraf VX menjadi rujukan utama pasukan keselamatan termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk mendepani ancaman bioterorisme.

    Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Wan Ahmad Najmuddin Mohd berkata berdasarkan kes berkenaan, beberapa langkah dan prosedur operasi standard (SOP) jabatan serta agensi yang terbabit dalam menangani isu dan ancaman bioterorisme dapat dikenal pasti.

    “Ia memudahkan sebarang tindakan selain menjadikan setiap perancangan siasatan lancar kerana tidak berlaku pertindihan tugas dan peranan antara jabatan dan agensi terbabit,” katanya pada sidang media sempena majlis penutup ‘Project Vector Bioterrorism Evidence Exploitation Workshop 2018’ di sini hari ini.

    Bengkel tiga hari bermula Rabu lepas bertujuan meningkatkan kecekapan menangani isu dan ancaman bioterorisme di pintu masuk negara melibatkan 21 wakil agensi berkaitan termasuk Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Malaysia Airports Holdings Bhd, Kementerian Kesihatan, Jabatan Imigresen, Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia.

    Wan Ahmad Najmuddin berkata kursus melibatkan teori dan amali di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) itu memberi peluang untuk mengenal pasti dan memperkemaskan SOP jabatan dan agensi terlibat bagi penyelarasan tugas di lokasi kejadian.

    Warga Indonesia, Siti Aisyah, 26, dan Doan Thi Huong, 29, kini dibicarakan kerana didakwa membunuh Kim Jong-nam bersama-sama empat lagi individu yang masih bebas di Balai Berlepas, klia2, Sepang pada 9 pagi, 13 Februari 2017. – BERNAMA

    Subjects:

  • No Comment to " Kes Jong-Nam Jadi Rujukan Ancaman Bioterorisme "