• Kertas Siasatan Namewee Ke Pejabat Peguam Negara

    Reporter: uMieySurianie
    Published: Monday, 26 February 2018
    A- A+

    KUALA LUMPUR: Polis akan menyerahkan kertas siasatan berhubung penyanyi rap, Namewee, yang didakwa menghasilkan satu klip video tarian lucah berlatar belakangkan bangunan Pejabat Perdana Menteri di Putrajaya kepada Pejabat Peguam Negara hari ini.

    Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun, berkata tindakan lanjut akan ditentukan oleh Timbalan Pendakwa Raya.

    Beliau berkata tempoh tahanan reman Namewee berakhir hari ini.

    "Kita akan hantar kertas siasatan kepada DPP (Timbalan Pendakwa Raya) untuk tindakan selanjutnya, mungkin ada arahan lanjut yang akan diberikan kepada kita," katanya pada sidang media pada Perhimpunan Bulanan Bukit Aman di sini, hari ini.

    Pada 11 Februari lalu, Namewee menimbulkan kontroversi apabila didakwa memuat naik satu klip video muzik sempena Tahun Baharu Cina bertajuk 'Like A Dog' di laman YouTube memaparkan dia bersama beberapa individu lain melakukan tarian lucah berlatar belakangkan bangunan Pejabat Perdana Menteri di Putrajaya,

    Video berkenaan yang viral menimbulkan kemarahan netizen dan masyarakat yang mendesak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) mengambil tindakan.

    Susulan itu, Namewee atau nama sebenarnya,Wee Meng Chee, 33, dipanggil ke Ibu Pejabat Polis Bukit Aman di sini, Khamis lalu bagi diambil keterangan.

    Dia kemudian direman empat hari sehingga hari ini untuk polis menjalankan siasatan lanjut ke atasnya berhubung empat laporan polis diterima berkaitan klip video terbabit.

    Kes disiasat mengikut Seksyen 298A Kanun Keseksaan.

    Seksyen berkenaan memperuntukkan kesalahan atas alasan agama yang boleh menyebabkan suasana tidak harmoni, perpecahan atau permusuhan, benci membenci atau niat jahat atau memudaratkan pemeliharaan keadaan harmoni atau perpaduan.

    Sabit kesalahan, boleh dihukum penjara tidak kurang dua tahun dan tidak lebih lima tahun. - BH Online

    Subjects:

  • No Comment to " Kertas Siasatan Namewee Ke Pejabat Peguam Negara "