• 'Kereta Kebal' Korea Selatan Diturunkan Malam Ini

    Reporter: Dayyan Mikhail
    Published: Monday, 5 February 2018
    A- A+

    KUCHING: Selepas berdepan masalah sijil perpindahan antarabangsa (ITC) pada perlawanan pembuka tirai, pertahanan import Sarawak dari Korea Selatan, Kim Chi-Gon bakal diturunkan dalam perlawanan kedua menentang Terengganu II malam ini di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu.

    Pengurus Pasukan Sarawak, Abdul Wahab Rahim berkata, kehadiran Kim penting untuk menambah kekuatan benteng pertahanan Sarawak dalam aksi menentang pasukan pantai timur itu.

    Selain itu menurutnya, beliau turut berharap jentera serangan dapat diperkemaskan untuk memastikan peluang terhidang tidak dipersiakan.

    "Kehadiran Kim akan menambah kekuatan pasukan terutama di bahagian pertahanan.

    "Saya turut berharap penyerang dapat mempertajamkan penyudah untuk memastikan kemenangan dapat diraih," katanya.

    Wahab menjelaskan, Sarawak mampu melakar kemenangan malam ini jika momentum permainan perlawanan pertama dapat dikekalkan selain barisan serangan perlu lebih tajam.

    "Peluang menang memang ada. Ini kerana rekod antara kedua-dua pasukan seimbang," ujarnya.

    Perlawanan antara kedua-dua pasukan akan disiarkan secara langsung di TV1 pada jam 9 malam.-Sarawakiana

    Subjects:

  • No Comment to " 'Kereta Kebal' Korea Selatan Diturunkan Malam Ini "