• Kerana Senggugut, Emirates Arahkan Penumpang Turun Dari Pesawat

    Reporter: Bukan Nama Sebenar
    Published: Tuesday, 20 February 2018
    A- A+


    Seorang wanita terkilan dengan tindakan syarikat penerbangan Emirates yang meminta dia turun dari pesawat hanya kerana mengadu mengalami senggugut.

    Beth Evans, 24 tahun, bersama teman lelakinya, Joshua Moran, 26 tahun, diminta berbuat demikian ketika menaiki pesawat itu dari Birmingham untuk bercuti di Dubai, minggu lalu.

    Beberapa minit sebelum pesawat berlepas, seorang kru kabin mendengar Evans memberitahu teman lelakinya yang dia mengalami sakit perut yang teruk akibat senggugut.

    "Saya kemudiannya disoal oleh kru dan ia sangat memalukan. Saya beritahu mereka, memang perut saya tidak selesa tapi saya tidak kisah untuk melalui tujuh jam penerbangan," kata Evans seperti yang dipetik portal The Sun.

    Pasangan itu yang berhabis 400 pound sterling (RM2,177) untuk membeli tiket penerbangan tidak mempunyai pilihan lain dan terpaksa menempah semula tiket yang berharga 250 pound sterling (RM1,360).

    Dalam pada itu, jurucakap syarikat penerbangan itu berkata tindakan tersebut terpaksa diambil kerana pihak syarikat tidak mahu mengambil risiko, apatah lagi dengan ketiadaan doktor di dalam pesawat.

    "Kapten membuat keputusan untuk meminta bantuan perubatan dan meminta penumpang turun supaya dia dapat menerima bantuan perubatan.

    "Kami tidak mahu membahayakan penumpang dengan menangguhkan bantuan perubatan yang sepatutnya diterima," kata jurucakap itu. - Agensi/AstroAwani

    Subjects:

  • No Comment to " Kerana Senggugut, Emirates Arahkan Penumpang Turun Dari Pesawat "