• Kerajaan Perlu Kaji Pelbagai Aspek Sebelum Tubuh RCI

    Reporter: Bukan Nama Sebenar
    Published: Sunday, 18 February 2018
    A- A+



    BAGAN DATUK – Kerajaan perlu meneliti dan mengkaji pelbagai aspek sebelum memutuskan untuk menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat kembali peristiwa Memali, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

    Beliau berkata kerajaan akan melihat setiap sudut termasuk tiga elemen penting sebelum membawa isu tersebut ke mesyuarat Jemaah Menteri bagi memutuskan tempoh yang sesuai bagi penubuhan suruhanjaya berkenaan.

    Ahmad Zahid, yang juga Menteri Dalam Negeri, berkata penubuhan RCI bukan disebabkan desakan daripada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) ataupun pihak yang semata-mata mahukan supaya penubuhan RCI berkaitan peristiwa Memali itu dipercepatkan.

    Sebaliknya, beliau menjelaskan, elemen pertama yang perlu dikaji adalah jika terdapat arahan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk melakukan penembakan yang membawa kepada kematian Ustaz Ibrahim Mahmud atau dikenali sebagai Ibrahim Libya, dan pengikutnya dalam peristiwa berkenaan.

    “Kita tahu bahawa tindakan yang merupakan elemen kedua oleh pihak polis adalah berdasarkan kepada arahan dan arahan ini kita harap adalah arahan yang bersandarkan kepada menjaga soal keselamatan, bukan kerana arahan politik,” katanya.

    “Elemen ketiga pula adalah jika ada sebarang unsur penganiayaan atau kezaliman dilakukan oleh sesiapa saja yang telah mengeluarkan arahan sedemikian, menjadi tugas RCI untuk menyiasat siapakah orang yang menjadi tokoh penting mengarahkan operasi di (Kampung) Memali ini dilakukan,” kata Ahmad Zahid.

    Beliau ditemui pemberita selepas Program Santai TPM bersama PDRM dan Kementerian Dalam Negeri Bagan Datuk dan Hilir Perak di Balai Polis Hutan Melintang di sini hari ini yang dihadiri kira-kira 1,500 pegawai dan anggota termasuk beberapa agensi kerajaan.

    Pada 16 Feb lalu, sekumpulan penyokong Gagasan Sejahtera serta wakil beberapa NGO menuntut kerajaan menyegerakan penubuhan RCI berhubung isu Memali yang berlaku pada zaman pemerintahan Tun Dr Mahathir Mohamad yang merupakan perdana menteri ketika itu.

    Peristiwa Memali pada 19 Nov 1985 menyaksikan 18 orang termasuk empat anggota polis terbunuh dan ramai lagi cedera ketika polis melancarkan operasi menangkap Ibrahim Libya. – BERNAMA

    Subjects:

  • No Comment to " Kerajaan Perlu Kaji Pelbagai Aspek Sebelum Tubuh RCI "