• Kerajaan Laksana Pelbagai Inisiatif Tingkatkan Pembangunan Ekonomi - Manyin

    Published: Friday, 9 February 2018
    A- A+

    BINTULU: Pelbagai inisiatif akan dilaksanakan untuk meningkatkan pembangunan ekonomi di negeri ini menurut Menteri Pendidikan, Sains dan Penyelidikan Teknologi Sarawak Dato Sri Michael Manyin Jawong.

    Menurutnya inisitif tersebut akan lebih tertumpu kepada pembangunan infrastruktur luar bandar, ekonomi digital, perumahan mampu milik, Transit Aliran Ringan (LRT) dan pembangunan pelbagai sektor seperti pertanian, pendidikan, pelancongan dan petro kimia.

    Memetik laporan Utusan Borneo, bagi merealisasikan inisiatif tersebut kementeriannya akan mengenal pasti isu-isu berkaitan, cabaran, keperluan dan peluang untuk memperbaiki sistem pendidikan di Sarawak.

    “Saya harus menekankan bahawa dalam ekonomi global hari ini, kejayaan negara bergantung pada dasarnya melibatkan ilmu pengetahuan, kemahiran, kecekapan dan inovasi rakyatnya.

    “Kementerian sudah merangka beberapa strategi untuk tujuan tersebut, antaranya meningkatkan kualiti pengurusan, kepimpinan dan guru, infrastruktur, persekitaran sekolah, kemahiran bahasa Inggeris di sekolah, penyertaan dalam bidang berkaitan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) di TVET dan institusi pengajian tinggi,” ujarnya.

    Justeru katanya, ke arah merealisasikan pelbagai objektif pembangunan dan industri di seluruh Sarawak maka kita perlu giat membangunkan modal insan.

    Manyin turut memaklumkan kementeriannya sedang meneroka kemungkinan memperkenal dan menyesuaikan dwisistem untuk memenuhi persekitaran tempatan dan selaras dengan keperluan industri.

    “Saya gembira Pusat Pembangunan Kemahiran Sarawak (PPKS) menjadi penyedia latihan yang diluluskan untuk Program Skim Perantisan Kursus Juruteknik Kimpalan, Mekatronik, Juruteknik Elektrik dan Juruteknik Teknologi Maklumat dan Komunikasi (IT),” tambahnya.

    Menurutnya, PPKS mungkin boleh mengambil cabaran dan melihat keupayaan menyesuaikan dwisistem untuk memenuhi keperluan industri di Sarawak. – Sarawakiana
  • No Comment to " Kerajaan Laksana Pelbagai Inisiatif Tingkatkan Pembangunan Ekonomi - Manyin "