• Kerajaan BN Bangun Sarawak Guna Pendekatan Berteraskan Teknologi

    Reporter: uMieySurianie
    Published: Monday, 26 February 2018
    A- A+

    BINTULU: Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Abang Openg berkata kerajaan negeri akan mencari pendekatan terbaik untuk membangunkan Sarawak melalui langkah terbaharu.

    Memetik laporan Utusan Borneo, katanya, ia khususnya dengan memberi tumpuan kepada penggunaan kemudahan berteraskan teknologi sejajar dengan perkembangan revolusi Industri 4.0.

    “Saya dan rakan-rakan dalam Barisan Nasional (BN) akan mencari pendekatan terbaharu itu dalam keadaan inklusif serta mesra perniagaan yang akan membantu mewujudkan keadaan kondusif untuk pihak luar terutama syarikat tempatan melabur dan melabur semula dalam pembangunan loji-loji di Sarawak,” ujarnya.

    Menurutnya, beliau yakin masa depan lebih cerah dan anak-anak muda akan didedahkan dengan pendidikan teknikal dan ilmu pengetahuan yang betul untuk mereka membangun bersama.

    Katanya, apa yang lebih penting, hubungan persefahaman dan kestabilan di negeri ini perlu dipelihara kerana ianya akan membantu kita mara ke hadapan.

    “Kita bertuah kerana BN Sarawak dari hari ke hari tetap kuat serta mempunyai persefahaman yang baik antara pemimpin-pemimpin komponennya.

    “Sebab itu saya yakin masa depan kita akan lebih cerah,” tambahnya.

    Abang Jo turut meluahkan perasaan gembiranya melihat keadaan negeri dan politik negeri ini stabil yang akan membawa kemajuan hasil daripada asas kepercayaan yang telah diterapkan antara parti komponen BN Sarawak oleh Yang di-Pertua Negeri Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud semasa menjadi ketua menteri.

    “Justeru, saya sebagai ketua BN Negeri yang baharu akan meneruskan kepercayaan dan sebagai asasnya kita akan bekerja bersama mencari cara untuk membangunkan Sarawak mengikut landskap ekonomi baharu,” tegas Abang Johari. – Sarawakiana

  • No Comment to " Kerajaan BN Bangun Sarawak Guna Pendekatan Berteraskan Teknologi "