• Kerajaan Akan Nilai Definisi Hak Tanah Semua Kaum Bumiputera – Masing

    Published: Thursday, 1 February 2018
    A- A+
    KUCHING: Kerajaan negeri akan menilai semua definisi hak tanah adat yang dikemukakan kaum-kaum bumiputera di negeri ini.

    Timbalan Ketua Menteri Tan Sri Datuk Amar James Masing dipetik Utusan Borneo berkata, semua kaum Bumiputera di Sarawak berhak menyatakan definisi masing-masing mengenai Pemakai Menoa (territorial domain) dan Pulau Galau (PMPG) mereka.

    Menurutnya, apa juga definisi yang dikemukakan mengikut adat resam masing masing, kerajaan akan membuat keputusan mengenainya.

    “Persidangan ketua masyarakat mengenai PMPG yang diadakan baru-baru ini di Kuching merupakan usaha pemimpin Dayak untuk memberi definisi PMPG tetapi ia lebih terangkum, kerana ia melibatkan penyertaan semua Bumiputera di Sarawak iaitu Dayak, Melayu dan Melanau.

    “Selain itu Melayu mengambil usaha untuk memberi definisi kepada PMPG mereka dan usaha mereka ini tidak salah,” katanya.

    Beliau yang juga Menteri Pembangunan Infrastruktur dan Pengangkutan berkata, kini terpulang kepada pelbagai etnik Dayak dan Melanau untuk membuat definisi PMPG masing-masing.

    “Semakin cepat semua Bumiputera memberi definisi masing-masing mengenai PMPG mereka, lebih baik supaya kerajaan dapat menyelesaikan isu-isu perbalahan ini dengan cepat,” jelasnya.

    Beliau berkata demikian diminta mengulas usaha pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Melayu iaitu Ikatan Graduan Melayu Sarawak (IGMS) dengan kerjasama Amanah Khairat Yayasan Melayu Sarawak (AKYBMS) menganjurkan Seminar Hak Adat Bumiputera Melayu Sarawak baru-baru ini.

    Seminar tersebut mencapai 11 resolusi untuk dikemukan kepada kerajaan hasil perbincangan peserta yang terdiri dari pelbagai latar belakang profesional termasuk pakar sejarah.

    Resolusi itu antara lain, mendesak kerajaan negeri mencari definisi ‘territorial domain’ yang sesuai untuk mengambil kira pendapat masyarakat Melayu Sarawak yang mempunyai sejarah serta budaya berbeza, yang boleh dikenali sebagai Hak Adat Bumiputera Melayu Sarawak.

    Sanib dipetik sebagai berkata, masyarakat Melayu Sarawak juga mempunyai hak yang sama dalam penggunaan PMPG.

    “Disebabkan dasar pembangunan negeri dan Kanun Tanah Negeri, masyarakat Melayu Sarawak terus terpinggir dan tidak mempunyai hak ke atas tanah mereka,” katanya dipetik akhbar tempatan. – Sarawakiana
  • No Comment to " Kerajaan Akan Nilai Definisi Hak Tanah Semua Kaum Bumiputera – Masing "