• Kenyang 'Mencekik' Wang Haram 7 Tahun

    Reporter: Dayyan Mikhail
    Published: Wednesday, 14 February 2018
    A- A+

    Lelaki bergelar Datuk adalah antara empat individu yang ditahan kerana terbabit dalam kes tuntutan palsu perkhidmatan logistik, Syarikat Panasonic Appliances Air-Conditioning Malaysia Sdn Bhd, sejak 2008 hingga 2014.

    Lelaki terbabit yang juga suspek utama dilaporkan menjawat jawatan Pengurus Besar Bahagian Kawalan Material dan Logistik, syarikat berkenaan dari 2008 hingga 2014, dikesan mengemukakan pelbagai tuntutan perkhidmatan logistik yang kononnya disediakan untuk syarikat pengangkutan berbeza.

    Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, Datuk Seri Amar Singh Ishar Singh, berkata syarikat menyedari perkara itu pada awal tahun 2015 selepas melantik sebuah agensi juruaudit luaran untuk membuat audit ke atas semua invois yang dikemukakan suspek.

    “Pada 12 Februari 2018, polis menahan suspek utama bergelar Datuk di Klang, serta tiga lagi suspek, yang juga pemilik bagi tiga syarikat logistik yang digunakan dalam tuntutan palsu dikemukakan suspek kepada syarikat,” katanya dalam satu kenyataan.

    Beliau berkata, suspek utama kes itu akan dituduh dengan keseluruhan 93 pertuduhan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan, dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

    Katanya, tiga lagi suspek lain masing-masing akan dituduh dengan 19 pertuduhan, 18 pertuduhan dan 46 pertuduhan mengikut seksyen sama dengan suspek utama terbabit.

    “Pertuduhan akan dibuat di Mahkamah Majistret Shah Alam, esok. Sehingga kini, lima kertas siasatan sudah diselesaikan, manakala baki enam lagi kertas siasatan akan diselesaikan dalam masa terdekat.

    “Syarikat terbabit sudah membuat 11 laporan polis berhubung kes tuntutan palsu antara suspek utama dan syarikat logistik terbabit,” katanya.-myMetro

    Subjects:

  • No Comment to " Kenyang 'Mencekik' Wang Haram 7 Tahun "