• Kemudahan Terbaik Disediakan Buat Mangsa Banjir Di PPS

    Reporter: uMieySurianie
    Published: Sunday, 4 February 2018
    A- A+

    KUCHING – Kerajaan negeri akan memastikan semua mangsa yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) banjir menerima segala kemudahan sebaik mungkin.

    Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata beliau berpuas hati melihat kemudahan yang disediakan di dua pusat pemindahan pagi ini.

    “Kita akan memastikan bantuan makanan, minuman diberi sebaik mungkin kepada mangsa. Selain itu Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak juga menempatkan doktor untuk memeriksa serta memastikan kesihatan mangsa terjaga,” katanya.

    Beliau yang juga Pengerusi Jawantakuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) berkata demikian kepada pemberita selepas melawat PPS di Masjid Darul Mustaqin Kampung Buntal yang menempatkan 125 mangsa daripada 20 keluarga di sini, hari ini.

    Sementara itu, jurucakap JPBNS berkata sebanyak 554 mangsa daripada 158 keluarga ditempatkan di lapan pusat pemindahan setakat tengah hari ini.

    Sebanyak lapan pusat pemindahan baharu dibuka setakat tengah hari ini, berbanding lima pagi tadi.

    “Tiga pusat pemindahan tersebut ialah Sekolah Kebangsaan Haji Bujang Rangawan Putin, Sadong Jaya (84 mangsa) dan Masjid Kampung Seruyuk, Simunjan (80 mangsa) di Bahagian Samarahan.

    “Di Serian pula, sebuah pusat pemindahan baharu dibuka di Dewan Lintang Baru, Kampung Lintang Baru menempatkan 64 mangsa,” katanya. – BERNAMA
  • No Comment to " Kemudahan Terbaik Disediakan Buat Mangsa Banjir Di PPS "