• Kempen "Stop Perogol Dalam Rumah" dekati masyarakat

    Reporter: Admin
    Published: Monday, 19 February 2018
    A- A+
    KUALA LUMPUR: Kempen #stopperogoldalamrumah atau #stoprapistinthehouse bagi mewujudkan kesedaran terhadap penderaan seksual kanak-kanak oleh ahli keluarga akan diadakan secara agresif melalui pelbagai aktiviti.

    Pengarahnya Farrah Adeeba Mohamed Ashraf berkata antara program yang akan dijalankan adalah ceramah di sekolah, dan pihaknya bekerjasama dengan lebih 20 orang “Advocate Speak Up” daripada pelbagai latar belakang seperti selebriti hiburan, ahli perniagaan dan ahli sukan untuk menyampaikan ceramah itu.

    “Isu ini berlaku di bandar dan luar bandar, ia tidak mengira sesiapa. Kebanyakan kes dilaporkan hanya apabila mangsa telah hamil. Jadi kita perlu hentikan perogol dalam rumah,” kata selebriti televisyen dalam program Nine11 terbitan Bernama News Channel hari ini.

    Beliau berkata melalui kempen itu, pihaknya berharap mampu mengubah budaya masyarakat yang masih enggan melaporkan kes-kes rogol oleh ahli keluarga terdekat, selain memberi pendidikan kepada mangsa dan keluarga untuk membuat aduan.

    “Kenapa kita gunakan perkataan rogol berbanding sumbang mahram? Kerana trauma yang dihadapi mangsa lebih dahsyat. Jadi kita perlu panggil penjenayah ini dengan gelaran yang sebenar supaya ibu-ibu mangsa, khususnya, sedar isu ini amat serius,” katanya.

    “Kita mahu sedarkan masyarakat bahawa kita ada tanggungjawab untuk menjaga anak-anak kita,” katanya.

    Farrah Adeeba berkata berdasarkan kajian yang dijalankan pihaknya tahun lepas, mangsa rogol oleh ahli keluarga adalah yang paling kurang mendapat sokongan ibu bapa masing-masing berbanding kes buli dan “cyber grooming”.

    Justeru katanya, kempen itu bertujuan mewujudkan persekitaran yang sihat, yang mangsa boleh bersuara, serta mencegah kes-kes seumpama itu daripada terus berlaku.

    Menurut statistik Polis Diraja Malaysia dari 2015 hingga 2017, bapa kandung merupakan “pemangsa” tertinggi iaitu 25.5%, diikuti bapa tiri (25.2%) dan bapa saudara (17.4%).

    Pakar kanak-kanak di Darul Ehsan Medical Centre Dr Rosliza Ibrahim pula menekankan penglibatan guru dalam mengesan perubahan sikap pada anak didik mereka, dan mengambil langkah seterusnya jika benar murid itu menjadi mangsa rogol.

    “Kita lihat statistik, mangsa dirogol bapa kandung…jadi boleh bayangkan betapa kacau-bilaunya emosi kanak-kanak. Sebab itu 98% kes tidak dilaporkan.

    “Guru perlu lebih proaktif bila melihat perubahan sikap kanak-kanak. Kadang-kadang disebabkan emosi terganggu, mereka memilih untuk diam. Tetapi jika kita dekati mereka, lama-kelamaan mereka akan bersuara,” jelasnya.

    Selain itu, Dr Rosliza berkata terdapat 100 Pusat Khidmat Krisis Sehenti (OSCC) di seluruh negara termasuk di setiap hospital kerajaan yang boleh menerima pelbagai bentuk aduan termasuk keganasan rumah tangga, rogol dan liwat.

    “Tidak kira ibu bapa, ahli keluarga atau guru-guru, jika anda rasa ada sesuatu yang berlaku boleh terus segera ke OSCC,” katanya. - Bernama

    Subjects:

  • No Comment to " Kempen "Stop Perogol Dalam Rumah" dekati masyarakat "