• Kemenangan PRU lebih penting dari kekuatan parti - Hishamuddin

    Published: Saturday, 24 February 2018
    A- A+


    BATU PAHAT: Ahli dan pemimpin UMNO diminta bangkit dan bersiap- sedia mempertahankan kelangsungan parti, sekali gus memastikan kemenangannya dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

    Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, berkata semua pihak perlu menggembleng usaha, tenaga dan terus bermuafakat memastikan perjuangan parti tidak dinoktahkan pada PRU kali ini.

    Beliau yang juga Menteri Pertahanan dan Menteri Tugas-Tugas Khas di Jabatan Perdana Menteri, berkata pada masa ini semua pihak perlu memastikan kemenangan UMNO dalam PRU, bukannya bimbang mengenai kekuatan parti.

    Katanya, kekuatan UMNO sahaja tidak bermakna jika kemenangan parti gagal dipertahankan pada PRU kali ini.

    "Sudah sampai masanya untuk kita semua (UMNO) bangkit berdepan dengan PRU yang bukan biasa-biasa kali ini kerana kita terpaksa hadapi ujian yang tidak pernah kita hadapi dalam mana-mana PRU sebelum ini.

    "Kita pernah berada di persimpangan dan keliru kerana sayangkan beberapa pemimpin yang meninggalkan parti sehingga terpaksa membuat pilihan sukar antara kawan atau perjuangan parti.

    "Dulu ada yang fikir UMNO Johor tidak mungkin boleh bersatu balik, namun kita, ahli dan pemimpin di Johor sejak dulu membuktikan tidak pernah pentingkan agenda peribadi melebihi perjuangan dan kesetiaan kita terhadap parti.

    "Saya tahu sekarang adalah masa yang sukar kerana berdepan ujian, namun masa susah inilah kita perlu bangkit meneruskan perjuangan dan menunjukkan kesetiaan pada parti," katanya.

    Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perjumpaan Kepimpinan UMNO Bahagian Ayer Hitam, Parit Sulong dab Simpang Renggam di Bangunan Komuniti UMNO Ayer Hitam di sini, hari ini.

    Yang turut hadir Ketua Penerangan UMNO Johor merangkap Ketua Bahagian UMNO Ayer Hitam, Datuk Samsolbari Jamali; Ketua Bahagian UMNO Parit Sulong, Datuk Zulkurnain Kamisan; Ketua Bahagian UMNO Simpang Renggam, Datuk Abd Hamid Abd Rahman dan Ahli Parlimen Parit Sulong, Datuk Dr Noraini Ahmad.

    Sementara itu, Hishammuddin berkata, beliau bangga melihat kemuafakatan ahli serta pemimpin UMNO Johor yang masih berpegang teguh kepada prinsip perjuangan parti.

    Katanya, ahli dan pemimpin UMNO Johor juga tahu akan tugas serta amanah yang dijunjung bagi memastikan negeri ini kekal kubu kuat UMNO dan Barisan Nasional (BN).

    "Itulah sebabnya saya hadir ke sini hari ini bagi berbincang dari hati ke hati kerana kita mahu bermuafakat sesama kita.

    "Bagaimana supaya kita tidak terikut-ikut dengan sentimen kebencian yang melaga-laga serta memecah-belahkan sesama kita.

    "Saya bangga kerana ahli dan pemimpin UMNO Johor meletakkan perjuangan parti menjadi keutamaan, itulah kelebihan UMNO yang perlu kita pertahankan, " katanya.-BHOnline

    Subjects:

  • No Comment to " Kemenangan PRU lebih penting dari kekuatan parti - Hishamuddin "