• Keluarga Timbalan Ketua Menteri Antara Mangsa Banjir

    Published: Thursday, 8 February 2018
    A- A+

    Keluarga Timbalan Ketua Menteri Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas antara mangsa banjir yang terperangkap di Sungai Arip, Selangau, dua hari lalu.

    Mereka bersama 240 mangsa lain sebelum ini terpaksa berlindung di Sekolah Kebangsaan Ulu Arip berikutan keadaan banjir yang semakin meruncing di kawasan itu.

    Difahamkan, kesemua mangsa terbabit terperangkap di lokasi berkenaan selepas kawasan terbabit dilanda banjir, selain satu-satunya laluan ke lokasi berkenaan terjejas akibat tanah runtuh.

    Bagaimanapun, mereka boleh menarik nafas lega selepas sepasukan pegawai dan anggota bomba berjaya sampai ke lokasi perlindungan penduduk terbabit bagi melakukan proses pemindahan serta menyalurkan bantuan berkaitan, 10.30 malam tadi.

    Timbalan Ketua Zon 4 Bomba dan Penyelamat Sarawak, Wan Kamarudin Wan Ahmad berkata, pihaknya memasuki kawasan penempatan terbabit menggunakan kenderaan pacuan empat roda (4WD) milik jabatan.

    "Kita menghantar sepasukan pegawai dan anggota ke lokasi kejadian selepas menerima maklumat terdapat mangsa terperangkap di sana dan menunggu bantuan.

    “Malah, kita turut meminta bantuan pemilik jentera jengkaut untuk mengalihkan tanah ke tepi jalan bagi membolehkan laluan itu digunakan kenderaan bomba," katanya ketika dihubungi, hari ini.

    Difahamkan, Uggah yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak akan berangkat ke SK Ulu Arip, 2 petang ini menggunakan helicopter dari Kuching bagi meninjau keadaan keluarganya dan mangsa banjir lain di Selangau

    Wan Kamaruddin berkata, operasi penghantaran bantuan ke lokasi kejadian agak mencabar disebabkan cuaca gelap, selain laluan ke kawasan itu yang dilitupi sisa tanah runtuh dan lumpur tebal.

    "Perjalanan menuju ke kawasan itu mengambil masa 45 minit perjalanan dari Pekan Selangau. Banjir yang melanda beberapa rumah panjang menyebabkan penduduk setempat berpindah ke bangunan SK Ulu Arip.

    "Sebenarnya, sekolah itu bukan dalam senarai pusat pemindahan namun penduduk mengambil initiatif sendiri berkumpul di tempat selamat bagi mengelak sebarang risiko, selain memudahkan penyaluran bantuan," katanya.

    Beliau berkata, walaupun bekalan makanan mereka masih ada, namun wujud kebimbangan selepas dua hari banjir berlaku, pasukan penyelamat sukar mendapat akses untuk memasuki kawasan berkenaan.

    "Sejurus melihat kehadiran pegawai dan anggota kami, kelihatan mereka cukup lega dan tenang," katanya.

    Katanya, turut terperangkap di sekolah tersebut adalah lebih kurang 30 orang guru dan keluarga mereka, termasuk seorang daripadanya yang sarat mrngandung dan hanya menunggu hari untuk melahirkan anak.

    Sementara itu, keadaan banjir di Selangau semakin buruk menyebabkan pertambahan penduduk dipindahkan ke pusat pemindahan banjir.

    “Setakat jam 11.30 malam tadi, 1, 281 penduduk dipindahkan ke lima pusat pemindahan sementara.

    “Seramai 65 berada di Dewan masyarakat Skuau, 342 di Dewan SJK(C) Tong Ah, 240 orang di SK Bukit Arip, 442 di Dewan SMK Ulu Balingian dan 192 orang berada di Dewan Serbaguna Selangau,” katanya.-myMetro
  • No Comment to " Keluarga Timbalan Ketua Menteri Antara Mangsa Banjir "