• Kekang Berita Palsu Bukan Untuk Kepentingan Politik

    Reporter: uMieySurianie
    Published: Sunday, 4 February 2018
    A- A+


    KUALA LUMPU – Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak membidas kenyataan pihak pembangkang yang mendakwa penggubalan undang-undang mengekang berita palsu adalah demi kepentingan politik kerajaan pemerintah semata-mata.

    “Kadang-kala ada salah faham seolah-olah apabila kita wujudkan undang-undang baharu ini, kita akan menggunakannya demi kepentingan politik semata-mata, itu tidak benar sama sekali,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Sidang Kemuncak Aspirasi dan Kepemimpinan Kebangsaan (NALS) 2018 di sini hari ini.

    Beliau berkata jawatankuasa khas bagi mengkaji undang-undang itu yang dipengerusikan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Azalina Othman Said akan mengambil kira pendapat seramai mungkin untuk menentukan undang-undang yang diluluskan di Parlimen kelak mendapat persetujuan semua pihak.

    “Soal berita palsu ini bukan hanya merisaukan mereka daripada parti pemerintah tetapi juga mereka daripada parti pembangkang dan rakyat biasa. Kita harus sama-sama menentukan agar berita palsu ini dapat kita atasi,” jelasnya.

    Beliau diminta mengulas dakwaan pembangkang bahawa berkemungkinan besar pihak berkuasa akan menggunakan undang-undang tersebut untuk dijadikan ‘senjata’ bagi menganiaya seteru politik. – BERNAMA

    Subjects:

  • No Comment to " Kekang Berita Palsu Bukan Untuk Kepentingan Politik "