• Kejayaan ETP Bantu Tingkatkan Taraf Hidup Rakyat

    Published: Thursday, 22 February 2018
    A- A+

    Pertumbuhan ekonomi Malaysia pada kadar 5.9 peratus pada tahun lalu antara tertinggi di dunia hasil kejayaan Program Transformasi Ekonomi (ETP) yang diperkenalkan kerajaan.

    Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata, perkembangan yang baik itu membolehkan kerajaan melakukan pelbagai usaha bagi meningkatkan lagi taraf hidup rakyat.

    "Apabila asas pendapatan (negara) kita kukuh, bukan sahaja golongan B40, malah M40 juga mendapat tempias dan kita sudah mengumumkan pada pembentangan Bajet 2018, cukai pendapatan mereka dikurangkan sebanyak dua peratus.

    "Dalam bidang pendidikan pula, setiap pelajar disubsidi RM8,900 setahun dalam usaha kita memberikan pendidikan percuma. Kerajaan perkenalkan program Jualan Sentuhan Rakyat, Kedai Rakyat 1Malaysia 2.0, ini antara inisiatif kerajaan tangani isu kos sara hidup," katanya.

    Beliau berkata demikian pada sesi perkongsian #Bajet2018 Bersama Rakyat mengenai Kesejahteraan Isi Rumah di Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) Cheras, Kuala Lumpur, hari ini.

    Najib berkata, banyak keputusan tidak popular yang terpaksa diambil termasuk memperkenalkan Cukai Barang Dan Perkhidmatan (GST) serta rasionalisasi subsidi demi kesejahteraan rakyat.

    "Banyak keputusan sukar yang saya terpaksa lakukan, sebagai contoh insiden Al-Maunah, MH370, Lahad Datu dan banyak lagi, tetapi itu tidak perlu saya ceritakan di sini, saya simpan dahulu untuk memoir saya.

    "Jangan risau sebab mandat yang anda berikan sejak 2009, saya akan lakukan yang terbaik untuk semua rakyat Malaysia.

    “Kita tidak boleh fikir masa sekarang, tetapi kena fikir masa 30 tahun akan datang, saya percaya kita akan jadi negara maju dan berdaya saing," katanya.

    Katanya, pemansuhan tol di Batu Tiga, Shah Alam, Sungai Rasau, Klang, Bukit Kayu Hitam dan Lebuhraya Skim Penyuraian Trafik Johor Bahru Timur sebagai bukti jelas keprihatinan kerajaan terhadap rakyat.

    "Saya tidak percaya kita kena membayar tol setiap hari. Kalau di Lebuhraya Utara-Selatan atau (lebuh raya) Karak tidak mengapalah sebab bukan kita guna hari-hari. Macam ada pemimpin terdahulu, beliau memang suka tol tetapi saya tidak suka.

    "Sebab itu, kita bina Projek Lebuhraya Pan Borneo tiada tol. Saya beri jaminan apa sahaja yang boleh saya lakukan, saya akan hapuskan tol.

    “Ini semua masalah legasi. Saya akan lihat semula keputusan (pemimpin) terdahulu yang membebankan rakyat termasuk isu tol," katanya.-myMetro

    Subjects:

  • No Comment to " Kejayaan ETP Bantu Tingkatkan Taraf Hidup Rakyat "