• Kedatangan Israel atas jemputan PBB

    Published: Thursday, 15 February 2018
    A- A+
    PUTRAJAYA 15 Feb. - Kementerian Luar hari ini menjelaskan bahawa penyertaan Israel dalam Forum Bandar Sedunia ke-9 (WUF9) berdasarkan jemputan yang dikeluarkan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), melalui agensinya Program Penempatan Manusia PBB (UN-Habitat) selaku penganjur WUF9.

    Menterinya, Datuk Seri Anifah Aman berkata, terdapat percubaan oleh beberapa pihak yang tidak bertanggungjawab untuk menagih keuntungan politik daripada penyertaan Israel dalam forum yang diadakan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) dari 7 hingga 13 Februari lalu.

    “Surat jemputan kepada Israel, yang ditandatangani oleh Pengarah Eksekutif UN-Habitat, adalah selaras dengan Perjanjian Negara Penganjur yang ditandatangani di antara organisasi itu dan Malaysia.

    “Artikel III dari perjanjian tersebut antaranya menyatakan, bahawa penyertaan dalam Forum itu dibuka antara lainnya kepada keseluruh keanggotaan PBB dan mana-mana Agensi Khususnya (Specialized Agencies) dan perjanjian tersebut adalah syarat bagi mana-mana persidangan PBB untuk diadakan di luar mana-mana ibu pejabat PBB yang sedia ada,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

    Sehubungan itu, beliau menegaskan bahawa tidak seperti surat jemputan kepada negara-negara yang lain, surat jemputan kepada Israel tidak ditandatangani oleh mana-mana pegawai Malaysia.

    Anifah berkata, tohmahan bahawa Malaysia secara senyap-senyap mewujudkan hubungan dengan Israel melalui penganjuran forum itu adalah tidak timbul sama sekali.

    “Pendirian Malaysia terhadap Israel tetap tidak berubah. Apa juga penyataan sebaliknya hanya sekadar membuktikan niat jahat dan berbahaya.

    “Harus diingat bahawa pelbagai pihak telah menekankan bahawa WUF9 telah dikelolakan dengan jayanya,” tegasnya.

    Forum tersebut telah berjaya meningkatkan profil Malaysia dan mempamerkan pencapaian Malaysia mempromosi, menyuara dan melaksanakan Agenda Bandar Baharu.

    Ia juga menyaksikan penyertaan lebih daripada 25,000 orang, dengan 69 negara diwakili di peringkat Menteri. Semua rakyat Malaysia harus bangga dengan kejayaan negara menganjurkan Forum yang berprestij dan penting ini.

    Beliau berkata demikian sebagai mengulas laporan portal pembangkang Malaysiakini berhubung kedatangan sekumpulan diplomat Israel dalam forum WUF9 di Kuala Lumpur, baru-baru ini. - UTUSAN ONLINE


    Subjects:

  • No Comment to " Kedatangan Israel atas jemputan PBB "