• Kecurian Kabel Bawah Tanah Punca Gangguan Elektrik - SESCO

    Reporter: Yusz Man
    Published: Tuesday, 20 February 2018
    A- A+

    KUCHING: Anak syarikat Sarawak Energy, Syarikat SESCO Berhad mengesahkan bahawa punca masalah gangguan bekalan elektrik di beberapa kawasan sekitar Petra Jaya, Samariang dan Santubong pada hari sambutan Tahun Baharu Cina (TBC) Jumaat lalu adalah disebabkan oleh kecurian kabel elektrik bawah tanah di pencawang 33kV Matang-Astana.

    Memetik laporan akhbar Utusan Borneo, kecurian kabel yang melibatkan dua kabel bawah tanah 33kV berdekatan tapak pembinaan di Bulatan Datuk Temenggong Abang Kipali diketahui sejurus selepas pemeriksaan dijalankan oleh pihak SESCO.

    Menurut kenyataan yang telah dikeluarkan anak syarikat SEB tersebut, kawasan-kawasan sekitar Astana, Samariang dan sebahagian kawasan Santubong mengalami gangguan bekalan elektrik sekitar jam 10 malam.

    Ketua Pegawai Esekutif SESCO Lau Kim Swee berkata, kerja-kerja baik pulih kerosakan berkenaan mengambil masa kira-kira 15 jam untuk siap sepenuhnya dan sebelum memulakan kerja membaik pulih pasukan teknikal SESCO berjaya membekalkan semula bekalan elektrik di kesemua kawasan terjejas dalam masa lebih kurang 20 minit menerusi pencawang 33kV lain.

    Menjelas lanjut, daripada hasil pemeriksaan di kawasan kecurian berkenaan pihaknya turut menemui sepasang sarung tangan, beg serta beberapa peralatan lain milik pencuri yang digunakan untuk mencuri kabel bawah tanah tersebut.

    Oleh yang demikian satu laporan polis telah dilakukan untuk siasatan selanjutnya.

    Justeru, Lau menggesa agar orang ramai bekerjasama untuk menjadi mata dan telinga dalam menyalurkan maklumat berkaitan kecurian elektrik di kawasan masing-masing dan sekiranya mendapati aktiviti tersebut berlaku, orang ramai boleh menghubungi Pusat Khidmat Pelanggan Sarawak Energy di talian 1300-88-3111 yang beroperasi 24 jam atau menerusi aplikasi ‘SEB Cares’ atau menghubungi polis berdekatan.-Sarawakiana
  • No Comment to " Kecurian Kabel Bawah Tanah Punca Gangguan Elektrik - SESCO "