• Kecoh Ramai-Ramai Tolak Pesawat Garuda Di Lapangan Terbang

    Reporter: uMieySurianie
    Published: Friday, 9 February 2018
    A- A+


    PERNAHKAH anda terfikir berapa ramai manusia diperlukan untuk menolak sebuah pesawat komersil?

    Dengan kejadian yang berlaku di Indonesia ini, anda kini mungkin dapat membuat anggaran kasar.

    Pada Khamis, tular gambar menunjukkan kira-kira 20 orang sedang menolak sebuah pesawat yang dikendalikan oleh syarikat penerbangan Garuda Indonesia di landasan.

    Netizen membuat spekulasi bahawa pesawat itu perlu ditolak secara manual selepas ia rosak.

    Pengurus Kanan Perhubungan Awam Garuda Indonesia, Ikhsan Rosan mengesahkan kesahihan gambar itu, tetapi menafikan bahawa pesawat itu perlu ditolak secara manual kerana mengalami kerosakan.

    "Kejadian berlaku hari ini di Lapangan Terbang Tambolaka (Barat Daya Sumba, Nusa Tenggara Timur)," kata Ikhsan, memetik Detik, Khamis.

    "Selepas pesawat mendarat, ia sepatutnya terus ke arah apron, tempat parkir pesawat. Pesawat itu tersasar sedikit."

    Ikhsan menambah bahawa lapangan terbang tersebut, pada masa itu tidak dilengkapi dengan kelengkapan menolak pesawat.

    "Sebab tidak ada 'pushback car', iaitu kereta tolak pesawat. Sebab itulah ia ditolak oleh juruteknik dan pekerja lapangan terbang," kata Ikhsan.

    Pesawat itu akhirnya berjaya sampai ke apron tanpa sebarang insiden tak diingini.

    Pesawat Garuda itu terbang ke Tambolaka dari Lapangan Terbang Ngurah Rai di Bali, menggunakan pesawat Bombardier CRJ1000.

    CRJ1000 mempunyai berat pendaratan maksima sebanyak 40.75 tan.- mStar

    Subjects:

  • No Comment to " Kecoh Ramai-Ramai Tolak Pesawat Garuda Di Lapangan Terbang "