• Kastam Sasar Kutip Cukai RM60.96 Bilion Tahun Ini

    Reporter: uMieySurianie
    Published: Monday, 5 February 2018
    A- A+
    Foto Nadim Bokhari
    KUCHING: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) menyasarkan kutipan cukai keseluruhan negara tahun ini mencapai RM60.96 bilion, iaitu peningkatan empat peratus berbanding RM58.82 bilion tahun lalu.

    Ketua Pengarahnya, Datuk Seri Subromaniam Tholasy, berkata tahun lalu sahaja, sebanyak 75 peratus atau RM44.03 bilion disumbangkan menerusi cukai barang dan perkhidmatan (GST).

    "JKDM menyasarkan peningkatan empat peratus kutipan cukai keseluruhan pada tahun ini dan ia mampu dicapai menerusi mengekang habis-habisan penyeludupan barang yang tidak dicukai, terutama membabitkan rokok, minuman keras dan bunga api.

    "Tahun lalu, ketiga-tiga barang berkenaan merekodkan peningkatan penyeludupan yang sangat signifikan membabitkan 267 peratus berbanding pada 2016," katanya dalam sidang media ketika menghadiri Mesyuarat Pengarah Kastam Ke-83, di sini, hari ini.

    Program berkenaan dirasmikan Ketua Menteri, Datuk Amar Abang Johari Abang Openg.

    Subromaniam ketika mengulas lanjut, berkata pada 2017, sejumlah RM20 juta barang seludup membabitkan rokok, minuman keras dan bunga api dirampas dengan nilai cukai berjaya diselamatkan berjumlah RM53 juta.

    Sementara itu, beliau mendedahkan, sebanyak 31 syarikat penghantaran sudah digantung perkhidmatan mereka di seluruh negara, termasuk tujuh syarikat beroperasi di Sarawak kerana bersubahat menyeludup barang terlarang sehingga April lalu.

    "Keputusan penggantungan dibuat selepas mengambil kira penyeludupan barang membabitkan barang memerlukan permit, barang haram atau mempunyai tarif cukai tinggi, sekali gus menjamin negara tidak kehilangan pendapatan selain memastikan keselamatan negara berada pada tahap tinggi," katanya.

    Subromaniam berkata, tindakan penggantungan terbabit dilaksanakan demi menjamin syarikat penghantaran mengambil tanggungjawab penuh menyelidik latar belakang pelanggan dan barang muatan ketika menggunakan khidmat penghantaran syarikat masing-masing.

    "Kamu (syarikat penghantaran) wajib mengetahui siapa pelanggan yang berurusan dengan anda dan apa jenis barang yang ingin dihantar keluar. Jangan maklumkan kepada kami (kastam) yang kamu hanya isytihar barang dalam borang pengisytiharaan berdasarkan apa diberitahu pelanggan semata-mata.

    "Jadilah bertanggungjawab dan mengambil sikap memperincikan semua makkumat, atau berdepan tindakan penguatkuasaan. Kami tidak akan berkompromi lagi," katanya. - BH Online

    Subjects:

  • No Comment to " Kastam Sasar Kutip Cukai RM60.96 Bilion Tahun Ini "