• Kapten Kapal Perikanan Mengaku Tidak Bersalah Beri Rasuah

    Reporter: Dayyan Mikhail
    Published: Wednesday, 28 February 2018
    A- A+

    KUCHING: Seorang kapten kapal perikanan dihadapkan ke Mahkamah Khas Rasuah di sini hari ini atas pertuduhan cuba memberi rasuah kepada pegawai Maritim Malaysia (APMM) di Tanjung Po di sini pada April tahun lalu.

    Tertuduh, Chieng Siew Hang, 36, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Nixon Kennedy Kumbong.

    Berdasarkan kertas pertuduhan, dia dituduh cuba memberi suapan sebanyak RM1,400 kepada Pegawai Memerintah Kapal Grade T18, Mohamad Razif Zaidi pada pukul 7.10 malam, 11 April 2017.

    Dia cuba memberi suapan itu supaya pegawai APMM itu tidak mengambil tindakan terhadapnya yang belayar tanpa ketua jurutera dan tidak mempunyai sijil keselamatan mengurus kapal.

    Dia didakwa mengikut Seksyen 17(b) Akta Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.

    Nixon Kennedy kemudiannya menetapkan tertuduh membayar jaminan tanpa deposit sebanyak RM8,000 dengan seorang penjamin tempatan dan perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah dalam tempoh tujuh hari bermula hari ini. - K! ONLINE
  • No Comment to " Kapten Kapal Perikanan Mengaku Tidak Bersalah Beri Rasuah "