• Kapal Maritim Wilayah Sabah, Labuan dibuka kepada pelawat

    Reporter: Yusz Man
    Published: Tuesday, 6 February 2018
    A- A+


    KOTA KINABALU: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Wilayah Sabah dan Labuan akan mengadakan Hari Terbuka lawatan ke dua kapal miliknya sempena Hari Ulang Tahun Maritim Malaysia ke-13, Ahad ini.

    Dua kapal canggih dan moden iaitu Kapal Maritim (KM) Arau dan KM Kota Belud dibuka untuk lawatan orang ramai mulai jam 9 pagi hingga jam 2 petang di Sabah Port, di sini.

    Acara sama juga akan diadakan di kapal milik agensi terbabit di Daerah Maritim Wilayah Persekutuan Labuan, Sandakan dan Maritim Tawau di lokasi masing-masing.


    Pengarah Maritim Wilayah Sabah dan Labuan, Laksamana Muda Maritim Datuk Mohd Zubil Mat Som, berkata pengunjung berpeluang merasai suasana dan melihat sendiri peralatan canggih dalam aset milik Maritim Malaysia.

    "Selain itu, aktiviti sampingan diadakan seperti pameran kerjaya, pameran senjata api kecil, peluang menaiki bot di perairan Sabah Port dan pameran agensi jemputan seperti Tentera Laut Diraja Malaysia, bomba, Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Jabatan Perikanan, Jabatan Kesihatan dan lain-lain.

    "Gerai jualan cenderamata dari Maritim Malaysia dan lain-lain jabatan serta agensi terbabit dan gerai jualan makanan turut diadakan," katanya menerusi kenyataan, hari ini.

    Sambutan Hari Ulang Tahun Maritim Malaysia ke-13 yang tarikh sebenarnya pada 15 Februari ini, secara kemuncaknya disambut di Akademi Maritim Sultan Ahmad Shah (AMSAS) di Gebeng, Pahang.

    Majlis bakal dirasmikan Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Datuk Seri Zulkifili Abu Bakar itu akan berlangsung Perbarisan Ulang Tahun diikuti Majlis Santapan Diraja pada sebelah malam.-BHOnline

    Subjects:

  • No Comment to " Kapal Maritim Wilayah Sabah, Labuan dibuka kepada pelawat "