• Kantoi Ikat Balak Haram Jadi Rakit

    Published: Wednesday, 14 February 2018
    A- A+

    Taktik mengikat ribuan balak haram untuk dijadikan rakit bagi memudahkan hasil hutan itu dibawa ke kilang menggunakan Sungai Batang Kemena, Sebauh, berjaya dipatahkan Pasukan Polis Marin Wilayah Lima (PPMW5) Sarawak.

    Dalam dua serbuan berasingan bermula kelmarin dan semalam, 1,220 balak pelbagai jenis dianggarkan bernilai RM60,000 tidak sempat diseludup ke kilang pemprosesan.

    Komander PPMW5 Sarawak, Asisten Komisioner Salehuddin Mat Zaman berkata, dalam serbuan pertama, sepasukan pegawai dan anggota dari PPM Bintulu dan Perbadanan Perhutanan Sarawak (SFC) menjalankan rondaan di Sungai Batang Kemena 5.30 petang sebelum terserempak dengan rakit balak yang dihanyutkan.

    Katanya, pasukan rondaan kemudian menjalankan pemeriksaan lanjut dan mendapati 200 balak Lompong itu tidak ada cop kebenaran untuk ditebang dari Jabatan Hutan Sarawak.

    “Balak berkenaan diikat menjadi rakit sebelum ditarik menggunakan bot. Ketika pemeriksaan, tiada pemandu bot ditemui di lokasi kejadian,” katanya.

    Beliau berkata, susulan penemuan itu, pihaknya mengesan 1,020 balak Lompong lagi di sungai sama tidak jauh dari lokasi pertama, 9 pagi semalam.

    Katanya, balak yang ditemui di lokasi kedua juga diikat menjadi rakit dan ditarik menggunakan bot menyusuri Sungai Batang Kemena.

    “Pemeriksaan lanjut mendapati balak yang ditemui tidak ada cop kebenaran untuk ditebang dari JHS, selain tidak membayar cukai kepada kerajaan negeri,” katanya.

    Salehuddin berkata, pihaknya percaya semua balak yang dirampas dalam proses untuk dibawa ke kilang pemprosesan selepas ditebang di hutan berhampiran.

    Katanya, kaedah mengikat balak dan menjadikan rakit antara teknik yang sering digunakan sindiket khususnya di kawasan penebangan yang berdekatan sungai.

    “Semua balak yang dirampas diserahkan kepada JHS Bintulu untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 80 Ordinan Hutan Sarawak 2015,” katanya.-myMetro
  • No Comment to " Kantoi Ikat Balak Haram Jadi Rakit "