• Kanada Kaji Semula Jual Helikopter Kepada Filipina

    Published: Thursday, 8 February 2018
    A- A+
    OTTAWA: Hanya selepas sehari memeterai perjanjian bernilai AS$233 juta (RM914.18 juta) untuk menjual 16 helikopter kepada Filipina, kerajaan Kanada hari ini mengarahkan perjanjian itu dikaji semula ekoran kebimbangan ia akan digunakan untuk memerangi pemberontak.

    Menteri Perdagangan Kanada, Francois-Philippe Champagne berkata, perjanjian itu dimeterai secara rasmi semalam dan persefahaman membabitkan penggunaan helikopter itu adalah ia akan digunakan untuk misi mencari dan menyelamat.

    Bagaimanapun, Mejar Jeneral Filipina, Restituto Padilla merangkap ketua perancangan tentera kelmarin berkata, helikopter itu akan digunakan untuk operasi keselamatan dalam negeri sambil menambah ia juga akan digunakan dalam operasi mencari dan menyelamat serta misi bantuan.

    "Apabila kami terlihat pengisytiharan ini, kami melancarkan kajian semula serta merta dengan pihak berkuasa berkaitan dan akan menilai fakta untuk membuat keputusan yang betul," kata Champagne kepada pemberita tanpa memberikan perincian lanjut.

    Helikopter Bell 412EPI itu dijangka dihantar pada awal tahun depan, ketika tentera Filipina bersiap untuk meningkatkan operasi terhadap pelampau Islam dan pemberontak Komunis.

    Jurucakap Presiden Filipina, Harry Roque hari ini berkata, tentera akan mempertimbangkan kemungkinan mendapatkan helikopter daripada sumber lain, jika Kanada enggan menjualnya.

    Sementara itu, Setiausaha Pertahanan Filipina, Delfin Lorenzana terkejut dengan berita Kanada mengkaji semula perjanjian itu.

    "Saya bertemu dengan wakil Bell di Singapura dua malam lalu dan mereka tidak memaklumkan sebarang masalah berhubung projek ini," kata Lorenzana kepada pemberita.

    "Semestinya," kata Perdana Menteri Kanada, Justin Trudeau ketika ditanya sama ada beliau bimbang bahawa helikopter itu mungkin akan digunakan ke atas rakyat Filipina. - Reuters

    Subjects:

  • No Comment to " Kanada Kaji Semula Jual Helikopter Kepada Filipina "