• 'Kami Berhak Menang Aksi Lawan Sarawak' - Kapten FELCRA FC

    Reporter: Dayyan Mikhail
    Published: Thursday, 15 February 2018
    A- A+

    Walaupun kemenangan 3-2 ke atas Sarawak dipalit kontroversi ekoran dakwaan rasuah, namun kapten FELCRA FC, Shahrom Kalam yakin ia dicapai secara merit hasil usaha keras semua pemain.

    Katanya, mereka memang mensasarkan tiga mata pada pertemuan dengan skuad Bujang Senang itu selepas terikat 1-1 dengan pasukan PDRM dan Sabah dalam dua perlawanan terdahulu.

    “Pemain menunjukkan keazaman tinggi untuk mencari kemenangan pertama melalui perlawanan dengan Sarawak itu walaupun bermain di tempat lawan.

    “Sejak awal perlawanan, kami bekerja keras. Malah, sebelum tiga jaringan pada lima minit terakhir itu dihasilkan, kami memiliki banyak peluang untuk menjaringkan gol, cuma gagal disempurnakan.

    “Saya tidak mahu mengulas mengenai dakwaan rasuah itu, namun saya yakin kami berhak menang dalam perlawanan berkenaan berdasarkan persembahan kami sepanjang permainan,” kata Shahrom.

    Dalam perlawanan di Stadium Negeri, Kuching, Sabtu lalu, Sarawak selesa mendahului 2-0 sebelum dibolosi tiga jaringan oleh penyerang import FELCRA, Anselmo Arruda da Silva bermula minit ke-87 disusuli dua gol lagi pada masa kecederaan.

    Susulan kekalahan itu, Persatuan Bolasepak Sarawak (FAS) mengeluarkan kenyataan mereka mendapat laporan mengenai pembabitan pemain dalam gejala menjual perlawanan.

    Bagi Shahrom, walau apa pun kontroversi yang tercetus, kemenangan itu melonjakkan moral The Rivals untuk menghadapi saingan seterusnya.

    “Sejak perlawanan pertama saya cukup yakin dengan kemampuan pasukan ini. Kami sepatutnya menang ke atas PDRM dan Sabah tapi tidak bernasib baik.

    “Kemenangan ke atas Sarawak itu mengesahkan kemampuan sebenar kami. Cuma, apa perlu kami lakukan sekarang adalah bermain secara konsisten sepanjang musim,” tegas Shahrom.

    Skuad bimbingan Tarcisio Pugliese Barbulio itu kini menduduki tangga keempat Liga Perdana dengan lima mata, dijarakkan empat mata dengan pendahulu, FELDA United yang mengumpul mata maksimum daripada tiga perlawanan.-myMetro

    Subjects:

  • No Comment to " 'Kami Berhak Menang Aksi Lawan Sarawak' - Kapten FELCRA FC "