• Kabinet Dijangka Sah Penyertaan Malaysia Dalam CPTPP

    Published: Thursday, 8 February 2018
    A- A+
    KUALA LUMPUR: Kabinet dijangka memberi pengesahan rasmi mengenai penyertaan Malaysia dalam Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP), tidak lama lagi.

    Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed, berkata beliau sendiri telah ke Kabinet dan mengemukakan perkara berkenaan.

    "Kita sentiasa memberi taklimat kepada Kabinet mengenainya dan akan mendapat pengesahan rasmi daripada Kabinet tidak lama lagi," katanya.

    Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan ucapan pada Forum Ekonomi Digital Malaysia di sini, hari ini.

    CPTPP yang sebelum ini dikenali sebagai Perkongsian Trans-Pasifik dan tidak lagi disertai Amerika Syarikat, dijadual untuk dimeterai di Chile pada bulan depan.

    Selain Malaysia, CPTPP turut dianggotai Australia, Brunei, Kanada, Chile, Jepun, Mexico, New Zealand, Peru, Singapura dan Vietnam.

    Semalam, Mustapa berkata, laporan mengenai penyertaan semula Amerika Syarikat dalam CPTPP adalah berdasarkan spekulasi dan sukar menjadi kenyataan berikutan perjanjian sedia ada yang dilihat Washington sebagai tidak menguntungkan negara itu ketika ini.

    Malah, beliau berkata, walaupun tanpa penyertaan Amerika Syarikat, CPTPP sebaliknya memberi manfaat kepada Malaysia berikutan wujudnya pasaran terbuka di 10 negara anggota yang lain. -BERNAMA

    Foto Asyraf Hamzah

    Subjects:

  • No Comment to " Kabinet Dijangka Sah Penyertaan Malaysia Dalam CPTPP "